SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Seluruh warga Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) disaran berusaha mengurangkan ketirisan kewangan serta meningkatkan kutipan hasil melalui perbelanjaan berhemah dan kerja berintegriti.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, kecemerlangan sesebuah organisasi terletak kepada jentera pengurusan berwawasan dan kakitangan yang mengamalkan budaya kerja cemerlang.
"Budaya ini menjadi asas penting kepada peningkatan kualiti dan produktiviti organisasi, terutama dalam era cabaran ekonomi yang tidak menentu," katanya ketika merasmikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 di Dewan Jubli Perak di sini kelmarin.
Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI, Azi Rahimee Mohamed.
Pada program tersebut seramai 41 warga MPKB-BRI menerima anugerah sebagai pengiktirafan di atas perkhidmatan cemerlang dan berkualiti mereka.
Majlis itu turut meraikan kejayaan MPKB-BRI sepanjang tahun 2024 yang membawa pulang pelbagai pengiktirafan dan anugerah pertandingan serta program peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri serta sektor awam.
Hilmi juga berkata, anugerah tersebut merupakan manifestasi keprihatinan MPKB-BRI terhadap modal insan yang berkualiti, dinamik serta berprestasi tinggi dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan.
Sehubungan itu beliau berharap penerima anugerah dapat mengekalkan momentum kecemerlangan dalam melaksanakan tugas.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada 41 orang warga MPKB-BRI yang diraikan dan diharapkan pengiktirafan ini dapat menyuntik semangat kepada 818 lagi warga MPKB-BRI untuk terus berdedikasi dalam menjalankan tugas,” ujarnya
Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Mekanikal yang terlibat dalam Inovasi MALA 3.0 Piala Menteri KPKT yang memenangi tempat ke-10 daripada 30 penyertaan.
Kata beliau kemenangan tersebut memberi motivasi tinggi kepada seluruh pegawai dan kakitangan MPKB-BRI dalam mencapai visi dan misi organisasi.
0 Comments