Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 26 Jun- Seramai 90 pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapat keputusan mumtaz dalam semua mata pelajaran, dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz al-Quran (SMTQ) 2024.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat memaklumkan hal berkenaan dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP di Bilik Seminar, Kompleks Pentadbiran YIK Tunjung, Kota Bharu, hari ini.
Katanya, pelajar yang lulus dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) pada tahun 2024 adalah seramai 4952 orang atau 92.18 peratus daripada jumlah calon seramai 5372 orang.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 625 calon mendapat pangkat Mumtaz, 1446 calon mendapat pangkat Jayyid Jiddan, 1548 calon mendapat pangkat Jayyid dan 1333 calon mendapat pangkat Makbul dan pencapaian terbaik 10 Mumtaz bagi semua mata pelajaran seramai 90 calon.
"Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) pula, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Saadah Lilbanat di tempat pertama dengan memperolehi GPS 1.31, diikuti oleh Maahad Sains Tok Guru dengan GPS 1.36 dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong memperolehi GPS 1.42," katanya.
Dato' Wan Roslan turut mengumumkan seramai 30 calon telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) 2024 melibatkan seramai 26 calon atau 86.67 peratus mendapat kelulusan penuh.
"Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SMU, SMTQ dan STUP pada tahun 2024.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih para pelajar, bimbingan para guru, serta sokongan padu daripada ibubapa dan pihak sekolah.
"Peperiksaan SMU bukan sahaja menilai tahap akademik, malah menjadi indikator kepada kejayaan kita dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berakhlak dan bersedia memimpin masyarakat berdasarkan nilai-nilai Islam sejati," ujarnya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Kelantan melalui portfolio Pendidikan sentiasa komited dalam memperkasakan Pendidikan agama, selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.
"Insya-Allah, pelbagai inisiatif akan terus digerakkan bagi memastikan sistem pendidikan agama terus unggul dan releven dengan perkembangan semasa," jelasnya.
Untuk rekod, seramai 5,402 calon daripada 100 buah sekolah telah menyertai peperiksaan awam kelolaan Yayasan Islam Kelantan di 98 buah pusat peperiksaan seluruh negara tahun 2024.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 85 buah sekolah YIK dengan jumlah calon seramai 4,984 orang serta 15 buah sekolah swasta di dalam dan luar negeri termasuk dua buah sekolah di Phnom Penh Kemboja seramai 409 calon serta sembilan calon persendirian.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah YIK Zulkifli Ab Rahman, Timbalan Pengarah YIK (Pengurusan) Mohd Kamaruddin Omar, Timbalan Pengarah YIK (Akademik) Shukri Husin dan Timbalan Pengarah YIK (Sekolah) Ahmad Fakhrudin Deraman.
0 Comments