KOTA BHARU, 5 Jun – Orang ramai diingatkan agar berwaspada terhadap lambakan iklan suplemen kesihatan di media sosial dan hanya memilih produk yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tegas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah.
Menurut beliau, terdapat banyak makanan tambahan dan ubat-ubatan tidak berdaftar dipromosi secara agresif di platform digital tanpa kawalan, sekali gus mengundang risiko kesihatan serius kepada pengguna.
“Sekarang terlalu banyak makanan tambahan dijual secara dalam talian. Jangan mudah terpengaruh dengan testimoni dan janji manis. Kesihatan bukan tempat untuk kita ambil risiko. Rujuk doktor terlebih dahulu sebelum ambil apa-apa ubat atau suplemen,” katanya dalam satu temu bual di Molek FM pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan kesihatan awam negeri itu yang menunjukkan penurunan kadar penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan kolesterol pada tahun 2024, hasil pelaksanaan program kesedaran berterusan oleh kerajaan negeri bersama agensi kesihatan melalui dasar Kelantanku Sihat dan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
“Alhamdulillah, kedua-dua penyakit ini telah menunjukkan trend penurunan sejak tahun 2024. Ini hasil usaha gigih memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Kelantan,” ujarnya.
Menurut YB Hilmi, peningkatan kadar diabetes dan kolesterol yang direkodkan pada tahun 2023 berpunca daripada budaya pemakanan tidak sihat, termasuk pengambilan kuih-muih manis yang menjadi kegemaran masyarakat setempat.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa Kelantan mencatat kadar penyakit tidak berjangkit sedikit lebih tinggi berbanding purata nasional.
Laporan itu menyebut 16.3 peratus atau seorang daripada enam rakyat Kelantan menghidap diabetes, berbanding 15.6 peratus di peringkat kebangsaan. Manakala 34.9 peratus penduduk negeri itu mengalami kolesterol tinggi, melebihi angka nasional iaitu 33.3 peratus.
Turut dilaporkan hampir 2.3 juta rakyat Malaysia menghidap gabungan tiga penyakit utama iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol pada kadar 54.4 peratus mempunyai berat badan berlebihan dan hanya tiga daripada sepuluh individu melakukan senaman secara berkala.
Mengulas lanjut, YB Hilmi menyeru rakyat agar segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami simptom awal dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi serius.
“Kalau rasa badan tak sedap, jangan tangguh. Terus pergi ke klinik atau hospital untuk saringan. Tindakan awal mampu menyelamatkan nyawa,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri terus komited meneruskan program intervensi seperti 10K Langkah Ameerah, Senam Cergas Komuniti, serta Klinik Bergerak dan kempen saringan percuma yang diperluas ke kawasan luar bandar.
Penurunan kadar diabetes dan kolesterol di negeri ini bukan sahaja petanda keberkesanan dasar kesihatan Kelantan, tetapi juga mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap pentingnya amalan gaya hidup sihat.
“Ini bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan ke arah membina masyarakat Kelantan yang lebih sihat dan sejahtera. Kita mahu Kelantan menjadi model kesihatan komuniti untuk seluruh negara,” katanya mengakhiri temu bual.
0 Comments