Ticker

6/recent/ticker-posts

KELANTAN PERUNTUKKAN RM120,000 BANGUNKAN PROJEK HARUM MANIS AL-FALAH


Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 24 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi memperkukuh pembangunan projek penanaman mangga Harum Manis Al-Falah di Melawi, Bachok.

Program tersebut melibatkan sepuluh peserta komuniti yang menerima bantuan dalam bentuk barangan pertanian.

Peruntukan tersebut disalurkan menerusi bantuan anak pokok, sistem pengairan dan penanaman, kursus teknikal serta lawatan ilmu ke Perlis hasil kerjasama di antara Jabatan Pertanian Kelantan dan Jabatan Pertanian Negeri Perlis.

Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek yang kini memasuki tahun kelima menunjukkan perkembangan positif, dengan 100 pokok telah mula mengeluarkan hasil.

YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail,
Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan

"Peruntukan ini adalah langkah untuk memperkasa komuniti tani di Melawi yang kita lihat berpotensi besar kerana masih banyak tanah terbiar yang boleh dimanfaatkan,” katanya semasa mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hasan ke Ladang Harum Manis Al-Falah dan majlis penyampaian input pertanian, pada Isnin.

Dato' Tuan Mohd Saripudin turut menyatakan bahawa fokus seterusnya ialah pembangunan pemasaran hasil agar pekebun mendapat pulangan yang berpatutan dan mampan.

“Jika hasil yang dikeluarkan berkualiti, kerajaan negeri akan bincangkan kaedah pemasaran yang sesuai,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan keunikan musim mangga harum manis di Kelantan yang masih berbuah walaupun musim di Perlis telah tamat sekitar Mei.


Justeru, peluang berkenaan harus dimanfaatkan dengan membangunkan jenama tersendiri.

Beliau mencadangkan agar pusat pengumpulan dan penjualan buah diwujudkan di kawasan Melawi, dengan menggunakan nama “Harum Manis Al-Falah” sebagai identiti tempatan yang membezakan jenama Kelantan daripada “Harum Manis Perlis”.

“Perlis benarkan kita guna nama harum manis, tetapi bukan ‘Harum Manis Perlis’. Sebab itu kita perkenalkan ‘Harum Manis Al-Falah’. Di Terengganu mereka gunakan jenama ‘Mangga King’,” katanya.

Sementara itu, wakil pengusaha komuniti Mohd Ridzuan Jusoh menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas peruntukan dan sokongan berterusan, termasuk menghantar peserta baharu menyertai kursus ke Perlis pada 23 hingga 25 Mei lalu.


"Hari ini pihak kerajaan memberi bantuan dalam bentuk barangan. Sebelum ini, peserta juga telah didedahkan kepada latihan teknikal secara langsung di Perlis," katanya dalam sesi taklimat.

Untuk rekod, projek Harum Manis Al-Falah dilaksanakan di bawah seliaan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dengan lebih 2,500 pokok ditanam sebagai usaha membina komuniti tani moden yang mampu menjana pendapatan dan memperkenalkan jenama harum manis dari Kelantan.

Sebanyak 100 pokok harum manis di kawasan seluas satu ekar telah mula mengeluarkan hasil dan dipasarkan secara fizikal dan dalam talian ke seluruh negara, menandakan potensi besar produk tersebut dalam industri agrokomoditi negeri.

Post a Comment

0 Comments