Ticker

6/recent/ticker-posts

SG4 SATU ANUGERAH KEPADA NEGARA


Oleh: Norzana Razaly

BANGSAR, 24 Jun – Sekretariat Kerajaan Negeri-Negeri SG4 disifatkan sebagai satu anugerah besar kepada negara kerana peranannya yang strategik dari sudut sejarah, geografi, sumber kekayaan, serta sumbangan terhadap keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi negara.

Penasihat Komunikasi SG4 Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa potensi empat negeri dalam SG4 – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis – harus diberi ruang yang luas untuk menyampaikan maklumat sahih dan bermanfaat kepada rakyat.

"Empat negeri ini merupakan jelapang makanan negara yang menyumbang 71 peratus pengeluaran karbohidrat dan protein.

"Bahkan 40 peratus tenaga pentadbiran awam juga datang dari SG4," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat SG4 Tahun 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di Bangsar pada Sabtu.

Mengulas mengenai perkembangan penting dalam dunia kewartawanan, Tan Sri Annuar turut menyambut baik penubuhan rasmi Majlis Media Malaysia yang diluluskan dan diwartakan pada Jun 2025 selepas lebih empat dekad diperjuangkan warga media.

"Majlis ini adalah satu kejayaan bersama. Ia menzahirkan kematangan media Malaysia dalam mengurus kebebasan secara beretika dan bertanggungjawab," ujarnya.

Beliau menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai satu mercu tanda baharu yang bakal memainkan peranan penting sebagai badan kawal selia bebas (self-regulatory) bagi memelihara kebebasan media serta menjamin profesionalisme dan integriti kewartawanan di negara ini.

Tambahnya, walaupun SG4 kini berada di blok pembangkang, kedudukan tersebut hanyalah bersifat sementara dan tidak menjejaskan komitmen negeri-negeri terbabit untuk terus menjadi penyumbang besar kepada pembangunan negara.

"SG4 ialah entiti zon ekonomi yang strategik. Berjiran dengan Thailand, keempat-empat negeri ini berpotensi besar menjadi blok ekonomi penting negara.

"Kita berazam untuk mengurus kekayaan sumber alam dan hasil budi secara sistematik dan mampan," katanya.

Beliau turut menyeru agar hubungan antara media dan SG4 terus diperkasa melalui pembukaan akses kepada maklumat rasmi secara tersusun dan menyeluruh.

Menurutnya, penganjuran program HAWANA SG4 2025 oleh Kerajaan Negeri Kelantan bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Perlis menjadi medan penting untuk merapatkan hubungan dua hala serta membincangkan hala tuju kerjasama media dan komunikasi bagi memperkukuh naratif pembangunan negeri-negeri SG4.

"Sudah tiba masanya kita membina keakraban media dan SG4 atas dasar saling percaya. Media bukan sekadar pelapor, tetapi rakan pembangunan," tegasnya.


Program HAWANA SG4 2025 turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Perlis YAB Mohd Shukri Ramli bersama para pemimpin kerajaan SG4.

Turut hadir, ketua pengarang media nasional, pengamal komunikasi strategik serta wartawan daripada pelbagai agensi.

Post a Comment

0 Comments