![]() |
YB Rozi Muhammad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong |
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
SHAH ALAM, 22 Jun – Seramai 500 anak Kelantan khususnya dari Pasir Mas yang menetap di sekitar Lembah Klang menghadiri Majlis Ramah Mesra Anak Kelantan Pasir Mas di Perantauan yang berlangsung meriah di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada Ahad.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu bertujuan memperkukuh jalinan mahabbah dan ukhuwah antara kepimpinan negeri dan rakyat Kelantan yang berada di perantauan, khususnya dari Parlimen Pasir Mas.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong, YB Rozi Muhammad dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan keterlibatan anak Kelantan di luar negeri yang banyak menyumbang jasa dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, korporat dan industri pembuatan.
“Rakyat Pasir Mas sangat bertuah kerana Menteri Besar Kelantan sendiri berasal dari jajahan ini. Anak-anak Kelantan di perantauan yang banyak menabur bakti dan secara tidak langsung menonjolkan budaya serta jati diri rakyat Kelantan yang berpaksikan nilai Islam,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa imej dan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri perlu terus diterjemahkan dan dipertahankan oleh anak Kelantan di mana sahaja mereka berada.
“Penting untuk kita mempertahankan kerajaan negeri yang ada hari ini. Pelaksanaan pentadbiran yang berpandukan al-Quran dan sunah telah terbukti berjaya dari segi integriti dan pengurusan, namun masih wujud usaha pihak tertentu untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menyentuh kepentingan peranan anak perantauan dalam mempertahankan kelangsungan pentadbiran Islam di Kelantan sejak era almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“PRU15 menyaksikan hanya 50 peratus anak Kelantan di luar negeri yang pulang untuk mengundi. Kita tidak mahu pengalaman ini berulang. Jika kerajaan Kelantan jatuh, maka jatuh jugalah kerajaan Islam yang menjadi harapan umat,” tegasnya.
YB Rozi turut menyeru agar anak-anak Kelantan menjalin hubungan rapat dengan Pusat Khidmat DUN bagi memastikan segala bentuk kebajikan dan maklumat kerajaan negeri dapat disampaikan dengan berkesan kepada warga perantauan.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (PERAKAN) sebagai platform penting dalam mengukuhkan jaringan antara rakyat dan kepimpinan negeri.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dan persembahan kebudayaan serta jamuan rakyat, menyemarakkan lagi semangat ukhwah dalam kalangan warga perantauan.
Terdahulu ADN Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud berpesan agar anak Pasir Mas di perantauan sentiasa akrabi al-Quran sebagai amalan harian.
![]() |
YB Mohamad Nasriff Daud, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir |
0 Comments