Oleh: Shuhada Hadzri
TUMPAT, 23 Jun – Jajahan Tumpat terus diberi nafas baharu sebagai destinasi pelancongan strategik menerusi cadangan projek 'river cruise' dari Kota Bharu ke Tumpat serta pembangunan pulau-pulau sekitar sebagai tarikan pelancongan baharu, termasuk sektor industri kreatif.
Projek river cruise yang kini dalam fasa awal pelaksanaan merupakan kesinambungan kepada hasrat mantan Menteri Besar Kelantan yang juga Ahli Dewan Negeri Pasir Pekan YB Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat serta pelancongan berasaskan komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Perpaduan dan Pelancongan Majlis Daerah Tumpat Sr. Shalah Huddin Che Husin berkata pihaknya turut meneliti beberapa kawasan pulau untuk dimajukan sebagai hentian pelancongan berkonsepkan warisan dan eko-pelancongan.
“Antara kawasan yang dikenal pasti ialah Pulau Suri, yang terkenal dengan konsep pasar terapung, serta cadangan produk unik seperti ‘Sekolah Beruk’ yang diyakini mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada media ketika sesi lawatan kerja ke Laman Warisan Kampung Laut, hari ini.
Lebih menarik, Pulau Sri Renjuna kini menjadi lokasi pilihan penerbit tempatan sebagai latar penggambaran drama dan filem, menjadikan Tumpat destinasi pelancongan yang berpotensi besar sebagai hab industri kreatif baharu di Pantai Timur.
Lawatan kerja berkenaan turut disertai lebih 20 peserta terdiri daripada wakil-wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Kelantan, Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC), Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Koperasi Warisan Kampung Laut dan Jawatankuasa Masjid Warisan Kampung Laut.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah cadangan penambahbaikan di kawasan Laman Warisan Kampung Laut, khususnya melibatkan naik taraf landskap, kemudahan asas, sistem pencahayaan dan papan tanda arah bagi kemudahan pelancong.
Tumpuan turut diberikan kepada Laman Serondeng, yang kini menempatkan 12 premis yang terdiri daripada 11 kedai menjual serondeng dan dodol serta sebuah kedai makan sebagai elemen pelancongan tempatan yang perlu diperkasa dari segi promosi dan penyelenggaraan fasiliti.
Sr. Shalah Huddin optimis, pelaksanaan cadangan tersebut akan memperkukuh sektor pelancongan Tumpat serta menyumbang secara langsung kepada peningkatan pendapatan komuniti dan pembangunan sosioekonomi setempat.
0 Comments