Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
SHAH ALAM, 23 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa mengutamakan kebajikan dan jalinan kasih sayang dengan anak-anak Kelantan di perantauan, bukan hanya pada musim perayaan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Md Daud menegaskan hal demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Anak Kelantan Pasir Mas di Perantauan di IDCC Shah Alam pada Ahad.
Beliau memetik hadis Rasulullah SAW “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mengasihi pemimpin dan pemimpin itu pula mengasihi rakyatnya.”
Menurutnya, prinsip tersebut telah lama menjadi amalan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang menjunjung dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sejak ia diperkenalkan oleh almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Sejak era Dato' Panglima Perang menjadi Exco Penerangan zaman Tok Guru lagi kerajaan negeri komited menjalin hubungan erat dengan anak-anak Kelantan di luar negeri, antaranya melalui program Iftar Ramadan yang menghimpunkan lebih 1,500 hadirin sebagai tanda kasih pemimpin terhadap rakyat di perantauan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun berlaku pertukaran Menteri Besar, dasar pentadbiran negeri kekal konsisten, dengan pelaksanaan strategi dan pelan tindakan yang menepati keperluan semasa.
“Kita dianugerahkan pemimpin terbaik oleh Allah SWT. Maka menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menyayangi dan sentiasa mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan petunjuk dalam memimpin negeri,” kata YB Mohd Asri.
Beliau turut mengimbas persidangan ulama rantau Asia pada tahun 2015, para ilmuwan dari Asia Barat, Turki dan dunia Islam mengiktiraf Kelantan sebagai wilayah Islamiah dalam aspek ekonomi, jenayah dan sosial.
“Syeikh Quraiyim Rajeh sendiri menyebut bahawa Kelantan adalah sebuah wilayah Islamiah. Maka menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan kerajaan Islam ini daripada sebarang anasir yang ingin menjatuhkannya,” tegas beliau.
YB Mohd Asri turut memuji pendekatan politik matang dan sejahtera yang diamalkan oleh Menteri Besar Kelantan hari ini, yang membolehkan Kelantan menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Hasil kebijaksanaan kepimpinan negeri, Kelantan berjaya memperoleh beberapa hak penting di peringkat persekutuan, selaras dengan semangat federalisme yang konstruktif,” katanya.
Antara projek pembangunan utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk projek ECRL, pembinaan stesen bas baharu, Madinah Riadah serta beberapa infrastruktur strategik lain menjelang SUKMA 2028, yang bakal menyaksikan Kelantan menjadi tuan rumah.
YB Asri turut menyeru anak Kelantan khususnya yang berada di luar negeri agar mendapatkan maklumat sahih dan terkini berkaitan negeri menerusi portal Sahabat Perantau dan laman Facebook rasmi Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).
Majlis Ramah Mesra Anak Kelantan Pasir Mas di Perantauan kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud yang juga ADN Meranti.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud dan ADN Tendong YB Rozi Muhammad serta Pengarah UPKN Razuan Awang Hamad.
Program mahabbah itu diserikan dengan persembahan kebudayaan dan jamuan rakyat bagi mengukuhkan lagi semangat kekitaan dalam kalangan anak Kelantan di perantauan.
0 Comments