Oleh: Norzana Razaly
KOTA DARULNAIM, 30 Jun – Kejayaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) yang dilaksanakan tahun lalu menjadi pemangkin kepada pengenalan Program e-Tuisyen Rakyat Sejahtera.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata inisiatif baharu Kerajaan Negeri Kelantan itu bakal memberi manfaat kepada 1,000 pelajar daripada keluarga B40 di seluruh negeri.
Menurutnya, kejayaan TRS terdahulu membuktikan keberkesanan inisiatif tuisyen percuma Kerajaan Negeri dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan mencapai keputusan cemerlang.
“Pada tahun 2024, seramai 436 calon SPM di Kelantan memperoleh keputusan semua A, termasuk 80 pelajar sekolah di bawah YIK,” ujarnya.
Kejayaan tersebut menjadi asas kepada pengenalan e-Tuisyen Rakyat Sejahtera, buat julung kali diperkenalkan untuk membolehkan pelajar di kawasan pedalaman atau yang berdepan kekangan hadir ke kelas fizikal terus mendapat akses pembelajaran tambahan.
![]() |
YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan |
“e-Tuisyen adalah pelengkap kepada pelaksanaan TRS secara fizikal yang sebelum ini telah berjaya mencatatkan kejayaan membanggakan. Dengan e-Tuisyen, pelajar boleh belajar dari rumah masing-masing tanpa perlu risau faktor jarak atau kesukaran keluar malam,” jelasnya ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan 2025 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim, hari ini.
Tambahnya, peruntukan sebanyak RM97,200 diurus setia oleh Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan (YIK) bagi menjayakan program tuisyen secara atas talian tersebut.
Dalam masa sama, Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) turut akan membuka Pusat Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan secara percuma di Kompleks YAKIN, Kota Bharu, bagi memperluas akses pembelajaran secara fizikal khususnya di kawasan bandar. Sekali gus melengkapkan usaha memperluas capaian pendidikan kepada pelajar yang memerlukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), YIK, YAKIN, ILDAN, Kelantan ICT Gateway Sdn. Bhd., dan semua Pusat Khidmat DUN yang menjadi tulang belakang kejayaan TRS serta pelaksanaan e-Tuisyen.
Terdahulu, dalam sesi taklimat berkenaan TRS 2025 disampaikan oleh Timbalan Pengarah Akademik YIK, Shukri Hussin kepada seramai 90 peserta yang terdiri daripada Ahli Dewan Negeri, Penyelia DUN serta Penyelaras TRS peringkat DUN.
Menurut Shukri, TRS 2025 merupakan satu inisiatif strategik Kerajaan Negeri bagi membantu pelajar yang berdepan kesukaran pencapaian akademik akibat kekangan akses kepada pendidikan tambahan.
“Program ini menyediakan tuisyen percuma sebagai ikhtiar meningkatkan potensi diri pelajar, khususnya dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Sebanyak RM675,000 diperuntukkan bagi menjayakan program ini yang dijangka memanfaatkan 2,700 pelajar di seluruh negeri, dengan 60 pelajar terpilih di setiap 45 DUN.
Jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lalu yang hanya melibatkan 30 pelajar bagi setiap DUN, sekali gus mendorong pertambahan kelas daripada satu kepada dua kelas di setiap DUN pada tahun ini.
Sehubungan itu, peruntukan bagi setiap DUN turut ditingkatkan daripada RM10,000 kepada RM15,000, khusus bagi menampung kos elaun guru. Semua tempat dan kemudahan kelas disediakan oleh pihak Pusat Khidmat DUN.
Shukri turut berkongsi objektif utama TRS 2025 ialah meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah, di samping menyediakan peluang pendidikan tambahan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Seramai empat tenaga pengajar akan ditugaskan setiap minggu bagi empat subjek utama. Guru-guru terlibat adalah dalam kalangan tenaga pengajar berpengalaman menggubal soalan peperiksaan atau mempunyai sekurang-kurangnya ijazah dalam bidang berkaitan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa program pendidikan tambahan itu terbuka kepada semua calon SPM daripada keluarga B40, tanpa mengira sama ada mereka bersekolah di sekolah di bawah seliaan YIK atau sekolah lain.
“Sesi tuisyen dijadualkan berlangsung setiap Jumaat dan Sabtu mulai 11 Julai hingga 30 Ogos 2025. Slot pembelajaran diadakan pada sebelah pagi pukul 9.00 hingga 11.00 pagi, manakala sesi petang bermula 3.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Jumaat, serta 3.00 petang hingga 5.00 petang pada hari Sabtu,” katanya.
Antara lokasi pelaksanaan termasuk Dewan Khidmat Pusat DUN (PKD), bilik seminar masjid, sekolah-sekolah YIK serta lokasi bersesuaian lain dengan keutamaan di PKD. Contohnya PKD Chempaka mengelola TRS di Dewan Cikgu Daud, PURNAMA. Manakala PKD Pengkalan Pasir pula mengendalikannya di Plaza Serakai Mas, Pasir Mas.
Bagi memastikan keberkesanan program, ujian berkala akan dijalankan untuk mengukur peningkatan prestasi pelajar dari semasa ke semasa. Pasukan pemantauan terdiri daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK), ILDAN, Pejabat Pusat Khidmat DUN serta guru-guru terlibat akan menilai kemajuan program dan melaksanakan penambahbaikan sekiranya perlu.
"Maklum balas pelajar dan ibu bapa mengenai keberkesanan program juga akan didokumentasikan sebagai rujukan penambahbaikan pada masa hadapan," kata Shukri ketika sesi taklimat.
0 Comments