Ticker

6/recent/ticker-posts

WARTAWAN BEBAS DENGAN PEDOMAN, BUKAN TERBABAS – MENTERI BESAR KELANTAN

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan
Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kebebasan media harus berpaksikan pedoman agama dan akhlak, bukannya kebebasan tanpa sempadan yang terbabas daripada landasan agama dan etika boleh merosakkan integriti kewartawanan.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan perkara demikian dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) Peringkat SG4 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di Bangsar pada Sabtu.

Katanya, kita tidak mahu lahirnya golongan wartawan yang bebas daripada disiplin agama dan etika.

"Bebas bukan bermakna terbabas. Wartawan mesti bebas daripada sogokan, bebas menyingkap kebenaran dan membina naratif yang mendidik. Bukan yang menyesatkan,” tegasnya lagi.

Menteri Besar turut menyatakan bahawa beliau menyokong prinsip kebebasan media selagi mana ia bersandar pada nilai-nilai murni dan tanggungjawab terhadap masyarakat.


“Kebebasan sebenar ialah apabila kebenaran dapat disampaikan tanpa takut dan tanpa tunduk kepada tekanan yang boleh merosakkan integriti,” katanya.

Dato' Mohd Nassuruddin menekankan bahawa wartawan yang hebat lantang bersuara atau menulis serta adil dan amanah dalam menyampaikan kebenaran.

“Islam telah menetapkan kesahihan maklumat sebagai asas penting dalam komunikasi. Apatah lagi jika maklumat itu membentuk persepsi dan mempengaruhi keputusan masyarakat.

"Wartawan Muslim tidak boleh menjadikan spekulasi, manipulasi dan provokasi sebagai landasan penulisan,” ujarnya.

Beliau juga menegur kewujudan segelintir wartawan yang hanya mengejar sensasi dan populariti tanpa memikirkan dosa dan pahala, serta menjadikan tajuk provokatif sebagai jalan pintas untuk melariskan jualan berita.

Majlis makan makan sempena sambutan hari HAWANA SG4 2025 yang diadakan di ibu negara itu menghimpunkan para wartawan dari Lembah Kelang dan negeri-negeri anggota SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Matlamatnya ialah untuk memperkukuh jaringan komunikasi antara pemimpin kerajaan negeri SG4.

Majlis berkenaan juga berfungsi sebagai platform kebajikan bagi pengamal media, termasuk menyantuni mereka yang diuji dengan kesukaran hidup atau keuzuran.

Menteri Besar turut menyeru agar para wartawan terus berperanan sebagai pencorak pemikiran ummah, membina masyarakat berilmu dan menjadikan nilai Islam sebagai teras dalam setiap laporan yang dihasilkan.

“Semoga segala usaha murni kita dalam dunia kewartawanan diberkati dan dihargai. Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional 2025,” ucapnya.

Post a Comment

0 Comments