![]() |
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Timbalan Menteri Besar Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco dan U-BeS
KOTA BHARU, 23 Jun – Sidang Kemuncak Belia Muslim Antarabangsa Kelantan (I-MYSK), telah membangkitkan semangat perjuangan dan solidariti terhadap Palestin dengan tema besar “Suara Bagi Yang Tidak Bersuara”.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dalam ucapan perasmianya menyeru umat Islam, khususnya golongan muda, untuk bangkit menyokong pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis Israel.
Katanya, di saat dunia Islam kelihatan hilang kekuatan mempertahankan Palestin, persidangan seperti ini menjadi medan penting untuk menghidupkan semula semangat perjuangan.
“Di bawah tema "Suara Bagi Yang Tidak Bersuara", sidang ini mengangkat perpaduan dan kerjasama serantau, serta menolak penyelesaian dua negara, semuanya demi pembebasan Palestin."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Belia Muslim Antarabangsa Kelantan, di sebuah hotel di Kota Bharu pada Jumaat.
Beliau turut menyanjung usaha golongan muda yang menggunakan media arus perdana dan digital untuk menyampaikan mesej perjuangan Palestin serta membongkar propaganda Zionis yang sekian lama menyesatkan masyarakat antarabangsa.
"Golongan muda memainkan peranan penting dalam memperkuat perjuangan Palestin melalui media arus perdana dan digital.
“Kita menyaksikan hasil dari usaha ini, kini semakin ramai NGO, ahli akademik, pelajar dan selebriti di seluruh dunia bersuara untuk Palestin, atas dasar kemanusiaan,” tambah beliau.
YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli turut menyatakan penghargaan terhadap keberanian institusi Islam terkemuka seperti Al-Azhar dan Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang secara terbuka menyeru umat Islam agar bersatu menghadapi Israel laknatullah.
"Tokoh seperti Sheikh Dr Ahmed al-Raysuni merupakan sumber inspirasi buat umat Islam untuk bangkit bersatu mempertahankan Palestin.
"Di Malaysia sendiri, kita bertuah kerana memiliki pemimpin seperti Tan Sri Tuan Guru, Abdul Hadi Awang yang tidak pernah jemu menyeru perpaduan umat Islam serta memperjuangkan Palestin melalui penulisan dan ucapan beliau dalam bahasa Melayu dan Arab.
“Kebenaran tentang Palestin mesti diketengahkan dalam era maklumat ini. Media perlu memberi ruang kepada ulama rabbani untuk menghuraikan isu ini secara menyeluruh, serta mengakhiri propaganda barat yang menyebar Islamofobia,” ujarnya.
Mengulas tentang kedudukan istimewa Palestin dalam sejarah Islam, beliau menegaskan bahawa bumi Palestin adalah bumi para nabi, tanah kesyahidan, dan amanah Ilahi sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga ke peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.
![]() |
YB Zamakhshari Muhamad, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan |
Sementara itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari dalam ucapan aluannya menyifatkan sidang kemuncak tersebut bukan sekadar acara biasa, tetapi merupakan perhimpunan rohani dan simbol solidariti sejagat.
“Tangisan dari Gaza bukan sekadar gema di padang pasir. Ia adalah seruan untuk bertindak. Umat ini adalah satu tubuh, apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasa,” katanya.
Beliau menyeru agar sidang ini dijadikan satu deklarasi dunia Islam bahawa umat tidak akan berdiam diri di hadapan kezaliman, malah akan terus bersuara bagi pihak yang ditindas, bukan hanya untuk Gaza, tetapi di setiap penjuru dunia.
Sidang Kemuncak I-MYSK yang berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 Jun, melabuhkan tirainya dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid tersohor tanah air iaitu kumpulan In-Team.
Ribuan rakyat Kelantan memenuhi dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, untuk menyaksikan persembahan tersebut dan tidak berganjak walaupun dalam keadaan hujan lebat, sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap rakyat Palestin yang berjuang untuk membebaskan negara mereka dari cengkaman Zionis Israel laknatullah.
0 Comments