Program berteras akidah, sahsiah mekanisme banteras gejala sosial remaja - YB Mohd Asri

YB Mohd Asri Mat Daud,
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus komited memantapkan program bimbingan aqidah dan sahsiah khusus bagi golongan remaja melalui pelbagai mekanisme yang dirangka secara holistik, bagi membendung gejala sosial di peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail, dalam Sidang Dewan Negeri Kali Kedua Penggal Ke-15 hari ini, telah membangkitkan persoalan sama ada kerajaan negeri memiliki pendekatan tuntas untuk membimbing remaja agar terhindar daripada pengaruh negatif.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud menjelaskan bahawa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) telah melaksanakan beberapa program bersasar yang merangkumi pelbagai golongan remaja termasuk mereka yang berisiko tinggi.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Pengukuhan Aqidah dan Jati Diri Ummah (PADU) di seluruh jajahan bagi memastikan kefahaman Islam terus diperkukuh dalam kalangan belia.

YB Harun Ismail,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang

“Selain itu, Program Pengukuhan Aqidah turut diperluas ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) agar para mahasiswa tidak terdedah dengan unsur yang boleh merosakkan aqidah,” katanya.

Menurutnya lagi, sambutan Hari Kebesaran Islam juga dimanfaatkan dengan penganjuran slot Bicara Ad-Din di setiap jajahan sebagai platform mendidik masyarakat khususnya generasi muda mengenai nilai Islam yang sebenar.

Selain itu, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Al-Muttaqin, khusus untuk membimbing golongan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah agar kembali ke pangkal jalan melalui pendekatan rohani dan motivasi berterusan.

JAHEAIK juga menyediakan kelas Fardhu Ain dan kelas Al-Quran khusus kepada golongan LGBT sebagai satu usaha mendekati, membimbing serta memberi kefahaman tentang cara hidup Islam yang sebenar.

YB Mohd Asri menegaskan bahawa pendekatan dakwah dan bimbingan secara berterusan akan terus diperkasa sebagai benteng ampuh mencegah gejala sosial dalam kalangan remaja di negeri ini.

“Kerajaan Negeri Kelantan akan terus istiqamah mendidik generasi muda dengan ilmu yang benar, agar mereka menjadi insan berakhlak mulia, berpegang teguh kepada aqidah Islam dan dapat berperanan membina masyarakat sejahtera,” katanya.

Post a Comment

0 Comments