9 anak syarikat PKINK untung sejak 3 tahun lalu, bukti keutuhan GLC Kelantan

YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Sembilan anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mencatat keuntungan bagi tiga tahun kewangan terkini, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri ini kekal berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi termasuk impak perang tarif global.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan bahawa empat daripada anak syarikat tersebut merekodkan keuntungan yang signifikan dan konsisten sepanjang tempoh tersebut.

“Permodalan Kelantan Berhad mencatat prestasi kewangan yang meningkat tahun demi tahun, bermula RM24.9 juta pada 2022, meningkat kepada RM26.1 juta pada 2023, dan melonjak lagi kepada RM28.2 juta pada 2024,” katanya.

Infra Quest Sdn. Bhd. turut menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan keuntungan stabil, meraih RM25.3 juta pada 2022, meningkat kepada RM29.4 juta pada 2023, dan seterusnya RM31.1 juta pada 2024.

Dalam pada itu, Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn. Bhd. merekodkan keuntungan RM12.3 juta pada 2022, RM4.5 juta pada 2023, dan kembali meningkat kepada RM15.8 juta pada 2024.

Manakala, Ladang Tapis Sdn. Bhd. pula mencatat keuntungan RM3.9 juta pada 2022, diikuti sedikit penurunan kepada RM810,004 pada 2023 sebelum pulih semula dengan keuntungan RM4.4 juta pada 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Galas YB Mohd Syahbudin Hashim, pada Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, di Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, prestasi tersebut membuktikan GLC Kelantan terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin ekonomi dan sosial dengan memacu pertumbuhan strategik meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global.

Post a Comment

0 Comments