![]() |
YB Dato’ Dr. Izani Husin, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan |
Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuh langkah proaktif bagi menangani ancaman hidupan liar yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di Lebuhraya Jeli–Gerik yang sering menjadi lokasi pertembungan kenderaan dengan gajah dan harimau liar.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan PERHILITAN Kelantan telah mengatur pelbagai inisiatif bersepadu termasuk kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi mewujudkan koridor makanan gajah di Jeli.
Menurutnya, projek berkenaan kini berada di peringkat penentuan lokasi hotspot yang sesuai bagi mengurangkan pergerakan gajah ke kawasan lebuh raya.
Selain itu, laluan jajaran harimau liar telah dikenal pasti melalui piawaian Conservation Assured Tiger Standards (CATS) yang menekankan penakrafan dan kawalan bersepadu untuk meningkatkan tadbir urus perlindungan harimau di kawasan berisiko.
“Sebagai langkah pencegahan segera, papan tanda amaran laluan hidupan liar telah dipasang di beberapa lokasi strategik di sepanjang Lebuhraya Jeli–Gerik.
"Rondaan berkala turut dilaksanakan oleh kakitangan PERHILITAN Daerah Jeli untuk memantau kemunculan gajah serta menghalau semula haiwan tersebut ke habitat asal menggunakan kaedah tembak halau,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri kini dalam proses perolehan Papan Tanda LED Amaran Gajah yang akan dipasang di lokasi strategik.
"Papan tanda berteknologi automatik ini akan berfungsi pada waktu malam bagi memberi amaran awal kepada pemandu supaya lebih berhati-hati.
“Selain kawalan fizikal, usaha mendidik masyarakat juga dilaksanakan secara berterusan. Antaranya, pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak memprovokasi hidupan liar dengan menekan hon atau memainkan lampu tinggi yang boleh mencetuskan tindak balas agresif gajah atau harimau,” katanya lagi.
Bagi memperkukuh kesedaran awam, Program Kesedaran Awam (PKA) anjuran Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia telah diadakan pada 1 hingga 3 Jun lalu di Hentian Rehat Titiwangsa.
Program itu menampilkan pameran, sesi penerangan dan soal selidik bagi memberi pendedahan berhubung risiko kemalangan melibatkan hidupan liar.
“Kerajaan negeri akan terus komited memastikan keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan pemeliharaan ekosistem, demi keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” tegasnya.
0 Comments