A RAHMAN HARUN
KOTA BHARU: Adun Kijang menyediakan dana sebanyak RM5,000 bagi pembelian kalkulator khas untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tahun ini.
Dato' Dr Izani Husin berkata, RM5,000 disediakan bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan program Tuisyen Rakyat Sejahtera 2.0 (TRS2.0).
Katanya, inisiatif terbabit sebagai tanda sokongan, di samping membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Peruntukan tersebut bertujuan bagi pembelian kalkulator khas kepada pelajar terbabit yang dipilih menyertai tuisyen rakyat untuk sesi kedua 2025," katanya pada majlis pelancaran TRS bagi Dun Kijang kelmarin.
Pelancaran tersebut diadakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Istiqamah Badang.
Dr Izani juga berkata, calon SPM hendaklah belajar bersungguh-sungguh kerana kejayaan mereka mampu mengubah nasib keluarga pada masa akan datang.
"Kita bermula dari titik yang sama, yang membezakan kita hanyalah kemahuan dan usaha untuk mengubah nasib, saya pernah belajar di wakaf kubur kerana suasana rumah agak bising adik beradik ramai.
"Namun saya tidak jadikan itu sebagai alasan untuk tidak belajar," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar.
Kerajaan negeri melancarkan TRS 2.0 dengan memperuntuk sebanyak RM675,000 melalui Program Kecemerlangan Peperiksaan membabitkan 2,700 pelajar dari 45 Dun di negeri itu.
Setiap Dun menerima RM15,000 berbanding RM10,000 tahun lepas, manakala jumlah pelajar meningkat daripada 30 kepada 60 orang.
Kelas TRS 2.0 dijadualkan bermula 11 Julai hingga 30 Ogos hadapan diadakan setiap Jumaat dan Sabtu. Tumpuan diberi kepada subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Pelaksanaan e-Tuisyen turut dikelola Kelantan ICT Gateway dengan peruntukan sebanyak RM97,200.
0 Comments