Oleh A RAHMAN HARUN
KUALA LUMPUR: Program Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) yang dilaksanakan kerajaan Kelantan bermula tahun lepas dirancang diperluas ke negeri-negeri di bawah Kerajaan Empat Negeri (SG4).
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, SG4 dijangka menjana hasil memberangsangkan melalui pelaksanaan TRS.
Katanya, perkara itu dibincang di bawah Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4.
“Sektor itu dipertingkatkan dan bukan lagi hanya terhad sektor pendidikan sahaja, malah turut meliputi wanita, kebajikan, belia dan pemerkasaan syariah.
"Perbincangan bagi peningkatan kualiti pendidikan, pembinaan sahsiah serta ekosistem pembelajaran yang lebih kondusif.
"Semoga usaha ini menyatukan kekuatan setiap negeri dan memberi impak berkekalan kepada pembangunan ummah dan masa depan negara," katanya selepas Bengkel Pelan Strategik Kluster Pendidikan dan Modal Insan anjuran Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 di sini baru-baru ini.
Turut hadir anggota-anggota Exco Kedah Dato' Mohd Azam Abdul Samat, Muhammad Radhi Mat Din; Exco Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Maliaman Kassim dan Perlis diketuai Muhammad Azmir Azizan.
Hadir sama Adun Paya Jaras Dato' Dr Ab Halim Tamuri dan Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Nor Asilah Mohamed Zin.
Wan Roslan juga berkata, bengkel anjuran Kluster Pendidikan dan Modal Insan SG4 dikelola Institut Latihan Darul Naim (ILDAN).
Pelaksanaan TRS di Kelantan bermula tahun lalu memperlihatkan keputusan SPM yang memberangsangkan.
Kerajaan negeri melancarkan TRS 2.0 dengan peruntukkan sebanyak RM675,000 melalui Program Kecemerlangan Peperiksaan membabitkan seramai 2,700 pelajar dari seluruh 45 Dun di negeri itu.
0 Comments