Bekas kakitangan MADA wujud Galeri Abu Bakar Hamzah

 Oleh SITI NOR MOHD  

DI Indonesia ada pemikir bernama Buya Hamka, di Tanah Melayu pula ada Ustaz Abu Bakar Hamzah. Mereka merupakan ulama, pemikir, pemimpin politik dan pejuang Islam.

Pemikiran mereka dianggap mencorakkan lanskap intelektual dan politik negara.

Allahyarham Ustaz Abu Bakar dilahirkan pada tahun 1925 di Kampung Bangsal Lebah, Kangar. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Behor Lateh.

Kemudian meneruskan pengajian di Madrasah al-Huda, Pulau Pinang dan Madrasah Alawiyah Ad-Diniyah (MAAD). Beliau juga pernah menuntut di Sekolah Cina Hwa Aik ketika pendudukan Jepun.

Memulakan kerjaya sebagai anggota polis pada tahun 1946. Pernah mengajar di Gunung Semanggol, Kati, Air Hitam dan Pulau Pinang.

Beliau aktif bersama Umno pada 1951 sebelum menyertai PAS pada 1955. Pernah menerajui Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Naib Presiden PAS, Ahli Parlimen Bachok (1964–1969) dan Senator (1971–1977).

Ustaz Abu Bakar pernah menyertai delegasi perbincangan penubuhan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bersama Tunku Abdul Rahman.

Beliau pernah dipecat daripada PAS dan kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana dari Universiti Kent, England, dan menyambung pengajian ke peringkat PhD. 

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau kembali menyertai PAS pada tahun 1983 dan bertanding jawatan Presiden PAS dalam Muktamar 1985.

Karya 

Antara karya penting beliau ialah Konsep Kepimpinan Ulama Dalam Politik, Hak Asasi Manusia Menurut Islam, Ke Arah Perlembagaan Islam, Fatwa Kafir Mengkafir Dalam Islam, Taqlid Buta dalam Alam Politik, Gambaran Perjuangan Pemuda PAS, Events That Led to Gulf War dan pelbagai lagi.



Hari ini sebahagian perjuangan Ustaz Abu Bakar Hamzah disimpan di galeri khas. Tempat itu dikenali sebagai Galeri Abu Bakar Hamzah, diwujudkan pada tahun 1994. 

Galeri terbabit bukan sekadar ruang penyimpanan bahan sejarah, sebaliknya simbol kesetiaan anak murid dan keluarga terhadap perjuangan ilmu dan dakwah.

Galeri itu diasaskan atas inisiatif seorang anak muridnya. Individu terbabit mengumpulkan bahan-bahan peninggalan Allahyarham Ustaz Abu Bakar yang tersimpan di beberapa lokasi termasuk di Bachok, Kelantan, Kampung Bangsal Lebah, Kayang dan Kuala Lumpur.

  Kini tugas menguruskan galeri itu dipikul anaknya Mohd Fuad Mansor, 42. Galeri terletak di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Rama, Sanglang.

Di tingkat atas tersimpan ratusan karya, kitab dan manuskrip peninggalan Allahyarham Ustaz Abu Bakar.  

"Semoga suatu hari nanti, galeri ini dapat diangkat sebagai pusat penyelidikan rasmi atau memorial intelektual agar jasa dan warisan Allahyarham Ustaz Abu Bakar serta isterinya, Kamal Ainiyah menjadi rujukan generasi akan datang," ujar Mohd Fuad ketika ditemui.

Sebahagian besar koleksi di galeri mengandungi kitab dan buku rujukan yang sukar ditemui di pasaran sekarang.

"Ketika abang dan kakak kami menuntut di Mesir dan Jordan, mereka menjadikan koleksi ini sebagai sumber utama rujukan,” katanya.


Peguam Anwar 

Mohd Fuad juga berkata, ramai tidak mengetahui jasa besar isteri Allahyarham, Kamar Ainiyah Kamaruzaman.

Menurutnya beliau seorang peguam yang pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengendalikan kes pada akhir 1990-an.

"Ketika menetap di Alor Setar, Allahyarham Kamar Ainiyah membeli sebuah rumah bersebelahan rumah keluarga saya untuk dijadikan perpustakaan bagi menyimpan kitab-kitab arwah.

“Rumah itu menjadi tumpuan ilmuwan, pelajar dan pengkaji dari dalam dan luar negara, termasuk wakil Kedutaan Iran,” katanya. 

Mohd Fuad juga berkata, setelah bersara daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ayahnya berpindah ke Kampung Rama pada tahun 2005.


Mohd Fuad

Kata beliau semua koleksi dan dokumen penting peninggalan arwah Ustaz Abu Bakar diletak di tingkat atas rumah tersebut.

“Kini, hampir 70 peratus daripada koleksi ini milik arwah Ustaz Abu Bakar, termasuk lebih 100 hasil penulisannya meliputi kertas kerja, nota tangan dan keratan akhbar,” ujarnya.

“Kami juga pernah mendapat bimbingan teknikal daripada Arkib Negara Malaysia mengenai pemeliharaan bahan-bahan sejarah," ujarnya.

Galeri terbabit sering menerima kunjungan pelajar dan penyelidik dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

Post a Comment

0 Comments