SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kedah merancang menghantar pelatih dari Kedah mempelajari kemahiran bidang jahitan sulam, kelingkan dan jahitan tekap di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan Negeri Kedah, Dato’ Halimaton Saadiah Saad berkata, Kelantan sebagai perintis dalam bidang kemahiran tersebut.
“Kami berbincang dengan Exco Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim untuk mengadakan kerjasama membangunkan sulam tekap di Kedah,” katanya di sini.
Sebelum itu beliau bersama 25 peserta delegasi dari Kedah melawat ke Pusat Kemahiran Wanita Kelantan (Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah dan Mawaddah Cantre Bandar Kota Bharu.
Lawatan sehari ke Kelantan tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah dasar wanita negeri Kedah ke negeri-negeri empat kerajaan (SG4).
Halimaton berkata, sulaman tradisional bukan sahaja dapat mengekalkan warisan, malah membuka peluang ekonomi kepada wanita.
Menurutnya juga lawatan ke Kelantan memberi banyak input berharga khususnya dalam aspek pembangunan wanita dan program kemahiran yang boleh diadaptasi di Kedah.
“Terima kasih kepada kerajaan Kelantan yang menyambut baik kedatangan kami. Lawatan ini sangat bermakna kerana dapat melihat sendiri pelaksanaan program wanita yang boleh dibawa balik ke Kedah,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kagum terhadap ketekunan wanita Kelantan yang aktif dalam pelbagai bidang seperti keusahawanan dan kraftangan.
Sementara itu Rohani mengucapkan terima kasih kepada rombongan Kedah kerana sudi menjadikan Kelantan sebagai rujukan berkaitan pembangunan wanita.
Katanya, kerajaan negeri sedia bekerjasama untuk memberikan pandangan serta menjalin usaha sama terhadap pembangunan wanita di Kedah.
“Alhamdulillah, lawatan ini menjadi medan pertukaran pandangan serta inspirasi bersama dalam usaha membela nasib wanita,” ujarnya.
0 Comments