Hari Sayyidatina Khadijah tanda penghargaan kepada wanita – Menteri Besar


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Julai – Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) yang diadakan hari ini merupakan satu manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan wanita tanpa mengira peranan mereka sama ada sebagai ibu, isteri, anak mahupun srikandi masyarakat, kata Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, sambutan ini memberi ruang untuk menzahirkan jasa dan pengorbanan wanita dalam membina institusi keluarga, memacu pembangunan masyarakat serta menyumbang kepada kemajuan negeri yang dicintai ini.

“Sesungguhnya wanita merupakan insan hebat yang memainkan peranan penting dalam pelbagai lapangan kehidupan dan harus sentiasa dihargai atas sumbangan mereka."

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2025, di Dataran Masjid Muhammadi di sini, hari ini.


Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Karnival Kelantanku Cakna 2025, sebagai satu platform untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar menegaskan bahawa kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan pentadbiran negeri di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang kini telah memasuki usia 35 tahun.

“Kerajaan negeri tidak pernah menyisihkan rakyat, malah sentiasa cakna dan mendahulukan kehendak serta keperluan mereka. Karnival ini harus dimanfaatkan untuk mempamerkan segala usaha kebajikan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri, sekaligus membuktikan bahawa Kelantan sentiasa menjuarai isu rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Islam telah lama mengiktiraf kedudukan wanita, jauh lebih awal daripada gerakan pemikiran Barat yang memperjuangkan hak wanita atas dasar kebebasan mutlak.

“Islam telah membela wanita sejak lebih 1,400 tahun lalu. Syariat Islam mengangkat martabat wanita yang dahulunya dianggap rendah pada zaman jahiliyyah sehingga selepas kematian suami pun, nasib mereka ditentukan oleh keluarga suami,” katanya.

Beliau berkata, Islam datang membawa pembaharuan besar apabila memberikan hak, penghormatan dan tempat yang sewajarnya kepada wanita sebagai pelengkap kepada kaum lelaki.

Tambah beliau lagi, gerakan hak wanita moden dari barat yang kononnya membela kebebasan wanita sebenarnya mempunyai agenda tersirat yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

“Islam meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi dan mulia. Mereka bukan lagi hamba seperti zaman jahiliyyah, tetapi insan istimewa yang memiliki hak dan tanggungjawab dalam masyarakat,” tegas beliau.




Dalam majlis ini juga turut diadakan anugerah tokoh Sayyidatina Khadijah kepada dua tokoh wanita hebat iaitu Hajjah Rahimah Nik Idris dan Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz. Hajjah Rahimah menerima anugerah tokoh Sayyidatina Khadijah al-Khansa Amru manakala Datuk Dr Shamrahayu menerima anugerah tokoh Sayyidatina Khadijah al-Khuwailid.

Kedua-dua tokoh menerima satu dinar emas, sijil , trofi, kerongsang HSK, telekong solat tajaan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA), al-Quran tajaan E-Nor, sumbangan produk kreatif daripada Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Pasir Pekan dan Jelawat, makanan sunnah dan sejambak bunga.

Hadir sama Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Nor Asilah Mohamed Zin, Yang Dipertua PURNAMA, Datin Panglima Perang, Datin Wan Nor Hanita Wan Yaacob, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan dan imam tua Masjid Muhammadi Kota Bharu.

Post a Comment

0 Comments