KOTA BHARU: Himpunan 'Turun Anwar' yang berlangsung di ibu negara petang semalam dianggap berjaya kerana disertai rakyat dari pelbagai lapisan khususnya anak-anak muda.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, sepanjang perhimpunan berlangsung tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Kehadiran ribuan rakyat termasuk dari Kelantan membuktikan anak muda Malaysia tidak mudah termakan propaganda dan maklumat berat sebelah, sebaliknya sedar untuk menyuarakan perubahan.
"Pemuda PAS Kelantan hadir dalam himpunan tersebut bagi menyatakan solidariti bersama rakyat kesan pelbagai kegagalan kerajaan, termasuk peningkatan kos sara hidup," katanya di sini.
Himpunan aman 'Turun Anwar' di Kuala Lumpur semalam dianggar dihadiri ratusan ribu peserta yang datang dari seluruh negara. Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin pembangkang dan NGO.
Mohd Firdaus berkata, anak muda bangkit menzahirkan bantahan terhadap kebobrokan pentadbiran kerajaan Madani.
Katanya juga Pemuda PAS Kelantan menegaskan 10 bantahan utama terhadap pentadbiran Perdana Menteri, antaranya, pengurusan negara yang tidak teratur dan mengganggu kestabilan rakyat.
Kenaikan kos sara hidup yang tidak ditangani secara serius dan hanya diganti dengan pengumuman populis juga memberi kesan yang panjang kepada rakyat.
"Kami juga menolak cadangan pelaksanaan URA yang mengganggu kontrak sosial dan keharmonian kaum.
"Kegagalan menunaikan janji kebebasan kehakiman termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara dalam kalangan berkepentingan politik," katanya.
Beliau juga berkata penyambungan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM yang melanggar komitmen awal perdana menteri, amalan kronisme termasuk pelantikan penasihat ekonomi dan penglibatan ahli keluarga dalam urusan rasmi juga amat tidak wajar berlaku.
Selain itu pelaksanaan subsidi bersasar yang tidak menepati janji penyelesaian menyeluruh dan pakatan dengan individu yang pernah terlibat dalam penyelewengan demi kelangsungan kuasa amat mengecewakan.
Beliau turut menggesa semangat keberanian anak muda diteruskan sebagai gelombang perubahan rakyat bagi menggantikan kerajaan yang ada sekarang.
0 Comments