Larian Malam tarik 1,000 anak muda sertai program masjid


Oleh: Norzana Razaly

KOTA BHARU, 31 Julai – Program Larian Malam "Night Run" anjuran Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan hampir 1,000 peserta, meningkat lebih dua kali ganda berbanding edisi sebelumnya yang hanya disertai sekitar 400 peserta.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad menyifatkan sambutan luar biasa itu sebagai petunjuk jelas sokongan padu generasi muda terhadap aktiviti berbentuk keagamaan dan komuniti yang dianjurkan oleh institusi masjid.

“Tanpa ganjaran wang tunai atau hadiah cabutan bertuah berskala besar, program ini tetap berjaya menarik hampir seribu anak muda. Ini satu perkembangan yang sangat positif,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.


Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan Masjid Jamek Muhammadi yang disifatkannya berjaya merangka pendekatan kreatif dan inklusif dalam usaha mendekatkan golongan muda kepada institusi masjid.

Program Night Run yang berlangsung malam tadi sempena Karnival Kelantanku Cakna dimulakan dengan solat Isyak berjemaah, diikuti bacaan surah al-Mulk dan solat hajat sebelum peserta memulakan larian malam di sekitar kawasan bandar Kota Bharu.

“Sambutannya memang luar biasa daripada anak muda kita. Ini membuktikan, jika program diolah dengan pendekatan yang sesuai, masjid mampu menjadi pusat perpaduan dan tarikan utama anak muda,” ujarnya.


Menutup kenyataannya, beliau menyampaikan penghargaan penuh semangat kepada semua yang terlibat sambil menyeru, “Sek kito jange ppecoh!”

Program tersebut juga mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk sukarelawan belia dan komuniti setempat, menjadikannya antara penganjuran masjid yang paling berjaya melibatkan anak muda Kelantan dalam kalendar tahun ini.

Post a Comment

0 Comments