Hari Warga Emas Kelantan 2025 disambut meriah, peranan warga emas dihargai


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 30 Julai – Sambutan Hari Warga Emas Kelantan 2025 sempena Hari Sayyidatina Khadijah (HSK 2025) disambut meriah dengan kehadiran warga emas dari seluruh negeri Kelantan.

YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dalam ucapan perasmiannya menekankan betapa pentingnya peranan warga emas dalam masyarakat, khususnya dalam membimbing generasi muda.

"Warga emas hendaklah mengambil tahu dan menasihati anak-anak muda yang menghadapi pelbagai cabaran semasa. Contohnya dalam mengakses maklumat dalam media sosial, warga emas boleh menasihati agar memilih maklumat yang berfaedah sahaja," kata beliau di Dataran Masjid Muhammadi, hari ini.


Tambahnya, peranan warga emas tidak terhenti walaupun sudah berumur, bahkan amat penting sebagai pemberi nasihat dan panduan hidup kepada golongan muda melalui pelbagai platform seperti jawatankuasa masjid dan komuniti setempat.

Beliau turut menyarankan warga emas agar mempunyai jadual harian yang teratur serta mengamalkan gaya hidup sihat bagi melayari saki baki kehidupan dengan penuh bermakna. Antara amalan sihat yang dicontohkan beliau termasuk membaca terutamanya al-Quran, berfikir, bercakap dan bersenam untuk kekal cergas secara fizikal dan mental.

Sementara itu, Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zin dalam ucapan alu-aluannya, berkata bahawa sambutan Hari Warga Emas ini merupakan manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap sumbangan warga emas.


"Sambutan ini bertujuan untuk memberi motivasi kepada warga emas agar dapat terus memainkan peranan yang penting sebagai egen pembangunan masyarakat sehingga akhir usia.

"Terima kasih kepada warga emas yang hadir dan tidak hadir pada hari ini yang menjadi egen pembangunan masyarakat," ujarnya.

YB Nor Asilah turut menekankan pentingnya tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa, dan menolak konsep menyerahkan tugas menjaga warga emas kepada pihak ketiga seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita tidak mahu kes-kes pengabaian warga emas berulang sehingga ada yang meninggal dunia bersendirian,” tegasnya.

Untuk rekod, di Kelantan setakat suku kedua 2024, seramai 132,300 orang atau tujuh peratus daripada 1.89 juta penduduk adalah warga emas. Dari segi jangka hayat, wanita di Kelantan mencatatkan umur 74.8 tahun manakala lelaki 69.5 tahun.

Majlis hari ini turut menyaksikan pelancaran Skim Warga Emas Mukramun yang merupakan satu inisiatif julung kali diperkenalkan sebagai bukti kecaknaan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap kebajikan warga emas, meskipun negeri ini sering dilabel sebagai negeri miskin.

Skim tersebut adalah kesinambungan kepada Dasar Warga Emas Mukramun Kelantan yang digubal pada tahun 2022.


Dasar berkenaan memberi tumpuan menyeluruh dari aspek pendidikan, perlindungan, pembangunan, kesihatan dan kebajikan warga emas, dengan tema “Budi Ditanam, Jasa Dikenang, Mulia Sejahtera Sepanjang Masa”

Program Sambutan Hari Warga Emas turut diserikan dengan pelbagai aktiviti melibatkan generasi muda dan warga emas, termasuk sukan antara generasi dan senaman warga emas (Senamas), forum yang bertajuk "syukur dan sabar" serta penyerahan Skim Warga Emas Mukramun

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Penasihat Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Negeri Kelantan (PURNAMA) Datin Bentara Kanan Datin Zabedah Abdul Hamid, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN), Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-Kekwa) Ilvira Mohd Dasuki dan Imam Tua Masjid Muhammadi Hairul Azizi Mokhtar.

Post a Comment

0 Comments