Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 30 Julai – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Syarikat SecurePay Sdn. Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk pembangunan dan pelaksanaan dwi sistem digital kutipan sedekah iaitu e-Jariah Masjid dan Kempen Sedekah Seriya Sehari bagi tujuan memperkukuh amalan infaq secara dalam talian yang mudah, telus dan selamat.
Majlis pemeteraian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK Dato’ Mohd Anis Hussein dan Pengarah Eksekutif SecurePay Sdn. Bhd. Datuk Ts. Amir Haris Ahmad di sebuah hotel, di sini, hari ini.
MoU berkenaan disaksikan oleh Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), SecurePay menyumbangkan pembangunan sistem bernilai RM460,000.00 bagi dua inisiatif utama iaitu pertama, e-Jariah Masjid yang melaksanakan sistem kutipan sedekah kepada 621 buah masjid seluruh Kelantan, termasuk Masjid Negeri, Masjid Bandar, Masjid Jajahan dan Masjid Mukim.
Kedua, Kempen Sedekah Seriya Sehari yakni inisiatif galakan rakyat Kelantan di mana jua berada menyumbang serendah RM1 sehari kepada Dana Awam Baitulmal MAIK.
“Sistem ini boleh diakses melalui laman sesawang dan aplikasi mudah alih ini menggunakan kaedah pembayaran FPX bagi membolehkan masyarakat melaksanakan sumbangan secara real-time dan menerima resit transaksi secara automatik. Ia turut menyediakan fungsi carian masjid mengikut lokasi dan dashboard pemantauan oleh pihak pengurusan MAIK,” katanya menerusi satu kenyataan.
Majlis pelancaran rasmi platform e-Jariah Masjid telah diadakan pada 20 Februari 2025 sempena Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan MAIK di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana Kota Bharu.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif digital tersebut memudahkan masyarakat menyalurkan sedekah secara konsisten dan menyemai budaya infak sebagai amalan berterusan yang memberi impak besar kepada kesejahteraan umat.
“Walaupun Kempen Sedekah Seriya Sehari hanya menyasarkan komitmen serendah RM1 sehari, ia membawa potensi besar dalam membantu golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum, di luar kategori penerima zakat,” jelas MAIK.
Sementara itu, Datuk Ts. Amir Haris pula menyatakan bahawa penyediaan platform berkenaan sejajar dengan aspirasi ke arah pendigitalan pengurusan dana kebajikan Islam serta memperluas capaian infaq kepada masyarakat global.
MAIK merakamkan penghargaan kepada pihak SecurePay atas sumbangan signifikan itu yang diyakini dapat memperkukuh lagi sistem tadbir urus sedekah di negeri ini yang memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh masyarakat, serta memperkukuh kepercayaan orang ramai terhadap ketelusan dan kecekapan pengurusan dana awam berasaskan prinsip syariah.
0 Comments