Jambatan Taman Sabariah akan dibaik pulih segera – Exco Kerjaraya


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 14 Julai – Jambatan di Taman Sabariah yang menjadi laluan penting menghubungkan dua kawasan Dewan Negeri (DUN) Kijang dan DUN Tanjung Mas bakal dibaik pulih dalam masa terdekat.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Izani Husin berkata kerosakan serius telah dikesan pada permukaan laluan jambatan yang dibina menggunakan plat keluli selepas mengadakan lawatan di jambatan tersebut bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Ir. Ts. Dr. Siti Fairuz Zakaria, baru-baru ini.

“Saya menggesa agar kerja baik pulih laluan ini disegerakan, dan dalam masa sama, penutupan sementara kepada kenderaan berat perlu dilaksanakan demi keselamatan pengguna,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya mahu kerja baik pulih dilakukan secepat mungkin bagi memastikan hubungan di antara dua kawasan DUN tersebut tidak terganggu.

Jambatan Taman Sabariah merupakan laluan utama yang digunakan oleh penduduk setempat dan menjadi penghubung penting bagi aktiviti harian masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.




Post a Comment

0 Comments