Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 14 Julai – Penanaman nanas secara konvensional di siang hari mungkin akan beralih ke waktu malam di Kelantan, apabila satu projek rintis penanaman waktu malam (night farming) mula menunjukkan potensi besar dalam meningkatkan kecekapan pengeluaran nanas di negeri ini.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, pendekatan baharu ini bukan sahaja sesuai dengan keperluan iklim tropika, malah menyokong penggunaan teknologi moden termasuk tenaga solar dan sistem Internet of Things (IoT).
Beliau menjelaskan bahawa nanas merupakan tanaman unik kerana menjalankan fotosintesis jenis Crassulacean Acid Metabolism (CAM) yang melibatkan penyerapan karbon dioksida berlaku pada waktu malam.
"Aktiviti penanaman pada waktu malam lebih sesuai dan efisien bagi tumbuhan tersebut, terutamanya dalam keadaan cuaca yang semakin panas," katanya menerusi satu hantaran di media sosial, hari ini.
Katanya lagi, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kini sedang giat meneroka potensi "night farming" sebagai satu kaedah moden yang bukan sahaja menjimatkan keperluan asas tumbuhan, malah mampu meningkatkan hasil serta mengurangkan tekanan haba kepada para pekerja ladang.
"Walaupun belum diamalkan secara meluas di negara ini, ini membuktikan bahawa tanaman tropika seperti nanas masih mempunyai ruang yang besar untuk dimodenkan melalui sains dan teknologi," tambah beliau," ujarnya.
Langkah tersebut dilihat sebagai antara inisiatif yang boleh memacu revolusi pertanian pintar di Kelantan serta membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk terlibat secara aktif dalam sektor agro makanan negara.
Terdahulu, Dato' Tuan Mohd Saripudin bersama Pengerusi LPNM, Sheikh Omar Ali mengadakan lawatan ke kawasan pertanian nanas sekitar Permatang Sungkai, Selising Pasir Puteh yang kini menjalankan aktiviti night farming. Projek ini diterajui oleh sekumpulan anak muda di bawah bimbingan khas LPNM Kelantan.
0 Comments