Kemudahan cuti belajar bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan – TMB

YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan,
Timbalan Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asyura Muhamad

KOTA DARULNAIM, 22 Julai - Kerajaan Negeri Kelantan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Kali Ke 02 Tahun 2025 bertarikh 15 Januari 2025 membuat keputusan bersetuju meluluskan kemudahan cuti belajar bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan lantikan Jawatan Negeri Berasaskan Caruman (JNBC), Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) dan Kontrak (CFS).

Menurut Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut adalah tertakluk kepada Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 4 Tahun 2025 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2025 yang lalu.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan dan sokongan bagi menggalakkan penjawat awam menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelasnya lagi, bagi yang mengikuti pengajian sepenuh masa, kemudahan cuti belajar dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Cuti Belajar Bergaji Penuh (CBBP), Cuti Belajar Separuh Gaji (CBSG) dan Cuti Belajar Tanpa Gaji (CBTG) sebagaimana tertakluk kepada kelayakan.

“Manakala bagi penjawat awam yang mengikuti pengajian separuh masa juga boleh diberikan pelepasan masa oleh ketua jabatan bagi tujuan pengajian,” katanya di Persidangan Kali Yang Kedua Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima belas Tahun 2025, hari ini.

Menjawab persoalan tambahan yang diajukan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh, beliau berkata buat masa ini tiada sebarang imbuhan kenaikan gaji diberikan kepada penjawat awam yang berjaya menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti ijazah, sarjana ataupun Doktor Falsafah (PhD).

“Walaupun begitu, kelulusan akademik boleh memberi kelebihan kepada penjawat awam untuk memohon kenaikan pangkat ataupun penyesuaian gaji berdasarkan kelayakan baharu tertakluk kepada kekosongan dan juga kelulusan pihak berkuasa,” ujarnya.

Post a Comment

0 Comments