Polis nasihat waspada melancong ke Thailand

SALMAH MAT HUSAIN


KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat lebih berwaspada sekiranya merancang perjalanan ke Thailand berikutan situasi tidak menentu di sempadan negara itu dengan Kemboja sekarang.

Ketua Polis Kelantan, Dato' Mohd Yusoff Mamat berkata, orang ramai supaya sentiasa berhati-hati apabila melancong ke Thailand dengan mengambil kira perkembangan terkini di sempadan Kemboja.

"Pihak polis tidak menghalang mana-mana pihak untuk ke sana, tetapi saya menyeru sentiasa berwaspada kerana keadaan di negara jiran tidak menentu," katanya selepas pelancaran Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2025 dan Karnival Kelantanku Cakna 2025 di perkarangan Masjid Jamek Muhammadi, di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar Dato' Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.


Media melaporkan ketegangan tercetus antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan kedua-dua negara sejak enam hari lepas.

Turut dilaporkan berlaku pertempuran tentera kedua-dua negara susulan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu lalu.

Kira-kira 35,800 penduduk dari wilayah Oddar Meanchey, Preah Vihear, Pursat dan Banteay Meanchey Kemboja dipindahkan sejak peperangan itu meletus.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, atas kapasiti sebagai Pengerusi ASEAN.

Post a Comment

0 Comments