KUCHING: Etnik penduduk Melayu di Sarawak berdasar perangkaan pada 2023 membentuk 23.7 peratus daripada jumlah penduduk negeri itu.
Paling ramai etnik Iban sebanyak 30.2 peratus. Selain itu Cina (21.9 peratus), Bidayuh (7.7 peratus), Melanau (5.1 peratus), bumiputera lain (5.5 peratus), lain-lain (0.6 peratus) dan bukan warganegara (4.3 peratus).
Mengambil kira jumlah penduduk Muslim ramai di Sarawak, keperluan pendidikan Islam begitu penting terutamanya di peringkat awal usia.
Oleh itu bagi menyemarakkan perkembangan sektor pendidikan Islam di Sarawak, PAS Kelantan membantu merintis usaha mewujudkan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di Kampung Pusa, Betong.
Usaha itu bermula sejak 10 tahun lepas dengan mewujudkan kelas Pasti berhampiran markas PAS Kampung Pusa.
Sehingga sekarang terdapat seramai 23 murid berusia empat hingga enam tahun belajar di Pasti terbabit.
Seramai dua guru dibiayai PAS Kelantan dilantik mengendalikan kelas terbabit.
Memandangkan permintaan ibu bapa tempatan menghantar anak ke Pasti Kampung Posa semakin bertambah, PAS Kelantan membiayai pembinaan sebuah bangunan dua tingkat di kawasan berhampiran.
Pegawai Harta dan Aset Badan Perhubungan PAS Kelantan Haji Shamsuddin Mat Daud berkata, pembinaan bangunan itu bermula pada Mac lepas yang dianggar membabitkan kos hampir RM400,000.
Katanya, dana tersebut disumbang pelbagai pihak dari Kelantan untuk memastikan Pasti memiliki bangunan sendiri yang lebih selesa.
“Pasti Al Naim tersebut dibina di lot yang dibeli daripada penduduk tempatan dan sekarang diurus pemegang amanah yang dilantik.
“Bangunan dua tingkat itu akan dilengkapi kelas, pejabat dan bilik penginapan dibangun di kawasan rendah yang ditambun sebelum ini,” katanya di sini.
Menurutnya juga pembinaan Pasti di Kampung Pusa penting memandangkan terdapat kira-kira 90 peratus etnik Melayu di kawasan tersebut.
Selain itu PAS Kelantan turut merancang membina sebuah lagi kelas Pasti di Kampung Tambak di Dun Beting Maro.
Kampung Pusa terletak di daerah Pusa diisytiharkan menjadi daerah penuh pada 1 Ogos 2015.
Selepas persempadanan semula, daerah kecil Pusa dan daerah kecil Kabong dinaiktaraf menjadi daerah penuh terletak di Bahagian Betong.
Bahagian Betong mempunyai empat daerah iaitu Betong, Saratok, Kabong, Pusa serta lima daerah kecil iaitu Spaoh, Debak, Roban, Maludam dan Nanga Budu.
Manakala kawasan pentadbiran daerah Pusa merangkumi Pekan Pusa, Kampung Pusa, Kampung Kalok, Kampung Tambak, Kampung Tuie, Kampung Serabang,
Kampung Dato' Godam, Kampung Dayang Esah dan Kampung Beladin.
Tempoh perjalanan darat dari Bandar Raya Kuching ke Pusa mengambil masa dua jam setengah selepas jambatan baharu merentangi Sungai Triso siap dibina.
0 Comments