Oleh ARUS LEBIR
MUNGKINKAH lapan ahli parlimen PKR yang berkiblat kepada Rafizi Ramli akan menerima nasib seperti Azmin Ali pada 2020.
Pada 24 Februari 2020 seramai 11 ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH).
Mereka membentuk blok bebas di Dewan Rakyat dengan diketuai Azmin. Ahli parlimen lain iaitu Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak).
Selain itu Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Cuma yang membezakan Azmin keluar parti, namun Rafizi belum lagi. Pengikut Rafizi juga ramai. Mereka iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau) dan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang).
RCI
Dua lagi turut disenaraikan iaitu S Kesavan (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat). Mereka menjadi hero apabila mendesak ditubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu institusi kehakiman.
Sembilan pahlawan PKR terbabit mahu RCI menyiasat dakwaan campur tangan pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang mencetus kebimbangan awam.
Media melaporkan Setiausaha Agung PRK Dr Fuziah Salleh dikatakan akan membentang isu tersebut kepada Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Bagi Rafizi menggantung sembilan ahli parlimen PKR menyebabkan jumlahnya akan tinggal 22. Ia secara tidak langsung membolehkan jumlah kerusi teras PH susut kepada 73.
Ini bermakna kurang satu berbanding 74 kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) sebelum ini. Kemungkinan tidak dapat ditolak sekiranya sembilan ahli parlimen PKR pro-Rafizi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.
Situasi tersebut tidak mengambil kira enam bekas ahli parlimen Bersatu yang pernah menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim. Selain itu pendirian Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ini kerana pada 21 Julai lepas Syed Saddiq mendedah menerima peruntukan RM200,000 selepas lebih 500 hari berunding. Sedangkan ahli-ahli parlimen pembangkang lain belum menerima sebarang peruntukan sehingga sekarang.
Biar pun begitu sembilan ahli parlimen PKR terbabit masih dianggap selamat. Anwar dilihat banyak pihak tidak berani menggantungkan kedudukan mereka dalam parti. Presiden PKR cenderung mengutamakan status quo sekarang.
Gunting dalam lipatan
Namun, keadaan dijangka lebih bahaya kerana membiarkan gunting berada dalam lipatan. ‘Team’ Rafizi sudah pasti tidak akan duduk diam. Mereka menanti ruang merebut peluang.
Sehari dua ini orang kanan Rafizi tiba-tiba bersuara. Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kerajaan berhati-hati mengulas himpun ‘Turun Anwar’ Sabtu lalu.
Ahli parlimen Setiawangsa itu secara terbuka menganggap ada menteri sengaja membesarkan isu sampah pada himpunan di Dataran Mereka. Katanya ia hanya isu remeh.
Menurutnya kenyataan menteri dilihat seperti memperlekeh keresahan rakyat.
“Ini bukan niatnya, tetapi politik adalah tentang persepsi. Isu ini akan memberi ruang simpati kepada penganjur, dan mengalihkan fokus keterbukaan kerajaan dan kelemahan pembangkang,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Sebelum itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor mendakwa hampir 20 metrik tan sampah ditinggalkan selepas perhimpunan Sabtu lalu.
Nik Nazmi juga tidak keseorangan. Bekas orang kuat Amanah Hanipa Maidin menyatakan amat tidak bersetuju reaksi penyokong kerajaan Madani yang memperlekehkan himpunan ‘Turun Anwar’.
![]() |
Hanipa Maidin |
Kata beliau antara naratif disajikan memperlekeh himpunan tersebut sebagai gagal dan dicemari pembuangan sampah merata-rata.
“Saya melihat usaha memperlekehkan himpunan tersebut hanya menampakkan budaya sindrom penafian yang masih tebal di pihak penyokong kerajaan Madani.
“Isunya adakah sindrom begitu bagus untuk kerajaan Madani?,” katanya seperti dilapor laman berita.
Biar pun perdana menteri dijulang berjaya mendamaikan seketika konflik Thailand-Kemboja, namun popularitinya menjunam di mata rakyat Malaya.
Antara faktornya kenaikan mendadak harga makanan dan minuman di seluruh negara mencatat antara 20 hingga 40 peratus.
Perkara itu didedah Pemantauan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) pada kajian Jun lalu melibatkan 300 anggota yayasan itu.
Pengguna bukan sahaja berdepan situasi harga makanan meningkat secara drastik, malah saiz hidangan turut menyusut sehingga 50 peratus. Inilah realitinya mulai dikesan Rafizi.
0 Comments