Umat Islam perlu celik agenda musuh


PENGKALAN CHEPA: Sekiranya umat Islam tidak bersatu mereka akan terus diperkotak-katik dan ditindas seperti yang berlaku di Palestin sekarang.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, umat Islam di Palestin dizalimi, dibunuh dan dikepung sehingga berlaku kebuluran yang amat dahsyat sekarang.

Katanya, situasi itu mendorong rakyat Mesir menghantar bantuan makanan melalui botol yang dihanyutkan melalui laut ke Gaza. 

“Ini adalah simbol ikhtiar atas kesedaran iman dan erti kemanusiaan yang sepatutnya menyedarkan kita untuk bangkit bersatu melawan musuh,” katanya pada perasmian penutup Seminar Konfliks Asia Barat (Iran-Israel-Palestin) di PUTIK malam tadi. 

Seminar itu mengupas ‘Kesan Geopolitik Global & Masa Depan Umat Islam’ menampilkan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Pengarah Pusat Kecemerlangan Pengajian Baitul Maqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Aminurrasyid Yatiban.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Kelantan Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat.  


Media baru-baru ini melaporkan penduduk Mesir melancarkan inisiatif 'Dari Laut ke Laut-Botol Harapan untuk Gaza' ekoran krisis kemanusiaan dan kebuluran yang semakin meruncing di Gaza.

Mereka dilapor mengisi botol bersaiz satu dan dua liter dengan makanan kering seperti beras, kekacang, dan bijirin sebelum dilepaskan ke Laut Mediterranean dengan harapan sampai ke pantai Gaza.

Oleh itu Menteri Besar menegaskan pentingnya umat Islam bersatu dan celik terhadap agenda musuh yang merancang memecahbelahkan kekuatan umat Islam.

“Semoga program seperti ini terus menjadi medan ilmu dan kesedaran, agar kita tidak leka dalam menghadapi cabaran masa depan umat,” ujarnya.

Sementara itu anggota Exco Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pada catatan di media sosialnya berkata, suasana dunia terus bergolak terutamanya di rantau Timur Tengah menyaksikan konflik berpanjangan antara Iran, Israel dan Palestin.

Menurutnya seminar itu membuka mata umat Islam terhadap realiti geopolitik global termasuk kemungkinan tercetusnya ketegangan lebih besar yang boleh mencetuskan perang dunia.

Post a Comment

0 Comments