PN bimbang keadilan boleh dijual beli


KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melahirkan kebimbangan sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas yang penting dalam proses pelantikan hakim.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi seperti itu dibimbangi mengundang tanggapan keadilan boleh dijual beli. 

Katanya, hakim mesti seorang yang berintegriti kerana tugas dan tanggungjawab amat berat. 

Kata beliau seorang hakim yang berintegriti akan membuat keputusan hanya berlandaskan undang-undang dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih. 

“Keadilan tentunya akan tertegak apabila mahkamah bebas dan hakim berintegriti.

“Kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir seorang individu untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya akan terhakis,” katanya pada kenyataan. 

Laporan media mengenai kemelut pelantikan hakim mahkamah atasan kini mendapat perhatian umum di negara ini. 

Malah, mantan Ketua Hakim Negara dilapor membangkitkan dalam mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berkaitan masalah integriti seorang hakim. 

Dakwaan terbabit terkandung dalam Minit Mesyuarat JAC pada 16 Mei lepas, bagaimanapun bocor.

Antara dakwaannya hakim tersebut pernah meminta supaya penghakiman satu kes dibuat memihak kepada pihak tertentu dan memindahkan seorang hakim yang tidak sehaluan.



Campur tangan


Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata, dakwaan itu salah guna kuasa dan campurtangan dalam badan kehakiman yang serius.

“Hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas sekiranya perbuatan itu benar-benar wujud. 

“Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi pihak yang berkuasa,” ujarnya. 

Oleh itu beliau mendesak perdana menteri hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan bagi membolehkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bebas ditubuh. 

Kata beliau Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama pelantikan seorang hakim. 

“Ini bermakna anggota JAC dalam membuat penilaian kelayakan seseorang untuk disyorkan pelantikannya sebagai hakim perlu meneliti aspek integriti individu tersebut,” katanya. 


Beliau juga berkata, lebih membimbangkan dakwaan itu berkait rapat dengan masalah dakwaan campurtangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan perdana menteri.

Lagi pun katanya perdana menteri mempunyai kepentingan dalam kes di mahkamah yang serius. 

“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah perdana menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim. 

“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti. Apatah lagi jika hakim didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan lebih tinggi,” ujarnya.



Post a Comment

0 Comments