Oleh: Fathi Yusoff Ajami
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2025 – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 benar-benar memberi perlindungan menyeluruh terhadap pengguna, khususnya dalam menangani risiko keberhutangan akibat penggunaan meluas skim Buy Now Pay Later (BNPL).
Dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) yang merangkumi Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti atas usaha merangka RUU berkenaan, yang disifatkan penting untuk mengekang keberhutangan rakyat.
"Usaha mengawal keberhutangan rakyat sama pentingnya dengan pengurusan hutang kerajaan kerana kedua-duanya memberi kesan langsung terhadap kestabilan ekonomi negara," katanya.
Fokus utama perbahasan beliau adalah terhadap skim BNPL yang semakin berkembang dan kini ditawarkan dengan nilai transaksi lebih tinggi serta tempoh bayaran sehingga 24 bulan – berbanding amalan biasa selama 1 hingga 6 bulan. Meskipun kadar tunggakan BNPL ketika ini masih rendah (sekitar 2.9%), Syahir memberi amaran bahawa risiko kewangan jangka panjang terhadap generasi muda, mahasiswa dan golongan B40 tidak boleh dipandang ringan.
Beliau juga mempersoalkan dominasi tiga pemain utama BNPL — SPayLater (Shopee), Grab PayLater dan Atome — yang menguasai lebih 95% pasaran, dan meminta kerajaan menyatakan langkah untuk menggalakkan persaingan sihat bagi melindungi kepentingan pengguna.
Dalam perbahasan itu juga, Syahir memetik keputusan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) bertarikh 24 Januari 2024 yang membenarkan BNPL dengan syarat ia mematuhi kontrak Syariah yang sah dan amalan penilaian kredit yang bertanggungjawab. Justeru, beliau menuntut penjelasan sama ada mekanisme dalam RUU ini memenuhi kehendak Syariah, khususnya bagi penyedia BNPL bukan-bank yang tidak dikawal selia secara langsung oleh BNM.
Merujuk Fasal 85(1) RUU, beliau turut mencadangkan lima penegasan utama:
1. Mengekang pelakuan perniagaan tidak beretika termasuk pujukan agresif dan pemberian kredit tanpa semakan.
2. Pengiklanan BNPL perlu telus dan tidak mengelirukan pengguna.
3. Pendedahan maklumat wajib diperkukuh termasuk simulasi bayaran dan penalti.
4. Penilaian kredit perlu diperketatkan, termasuk latar belakang penggajian pengguna.
5. Bantuan untuk pengguna bermasalah kewangan seperti moratorium dan rujukan automatik ke AKPK.
Sebagai penutup, Syahir menekankan pentingnya pendidikan kewangan kepada generasi muda serta peranan kerajaan dalam memastikan pengguna tidak terus dimangsakan oleh pemodal yang mengejar keuntungan.
"Kalau hutang wajib dibayar, kalau janji wajib ditepati," katanya mengakhiri perbahasan sambil menyelitkan pantun nasihat kepada rakyat Malaysia.
0 Comments