![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Oleh: Che Maziah Mat
KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan komited memperluaskan tanaman mangga Harum Manis sebagai produk pertanian yang berpotensi eksport, khususnya di kawasan yang mempunyai altitud dan iklim yang sesuai seperti di Bachok, Pasir Puteh dan beberapa jajahan lain.
Menurut Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, beberapa langkah strategik untuk memperluaskan kawasan tanaman Harum Manis telah diambil oleh kerajaan negeri menerusi agensi yang berkaitan untuk tujuan tersebut.
“Antara langkah tersebut dapat dilihat melalui Program Harum Manis Al-Falah yang dilaksanakan oleh Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) yang melibatkan 10 peserta terpilih di jajahan Bachok dan Pasir Puteh, mereka ini turut menyertai kursus dan lawatan teknikal di Perlis dan Bachok pada Mei dan Jun lalu.
"Seterusnya, penanaman Harum manis melalui Jabatan Pertanian Negeri Kelantan yang dijalankan di jajahan Bachok dan Pasir Mas melibatkan 52 pengusaha dengan keluasan 9.23 hektar, manakala di Pasir Mas melibatkan 1 hektar dengan dua pengusaha dan nilai pengeluaran bagi jajahan Bachok sahaja kini mencecah RM45,500 dengan hasil 1.82 metrik tan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan YB Mohd Rodzi Jaa’far daripada Gaal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.
![]() |
YB Mohd Rodzi Jaa’far, Ahli Dewan Negeri (ADN) Gaal |
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jabatan Pertanian Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 25,800.00 bagi kedua-dua jajahan ini untuk mengembangkan lagi penanaman mangga harum manis secara lebih meluas
Memandangkan iklim di Jajahan Pasir Puteh hampir menyerupai keadaan di Bachok, Jabatan Pertanian akan menjalankan siasatan awal mengenai kesesuaian tanah di kawasan tersebut. Langkah ini bertujuan untuk memastikan potensi pembangunan tanaman Harum Manis secara komersial dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan terancang.
Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang Kerajaan Negeri dalam merangsang sektor pertanian bernilai tinggi serta memperkukuh potensi eksport hasil tempatan ke pasaran antarabangsa.
0 Comments