![]() |
YB Hilmi Abdullah, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 23 Julai – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kini giat menyiapkan dokumentasi lengkap pencapaian berasaskan prinsip 'Lima Kaf' bagi tempoh 2016 hingga 2024, sebagai sebahagian usaha memperkukuh identiti Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam.
Prinsip Lima Kaf', yang menjadi teras pentadbiran dan pembangunan Kota Bharu sejak diperkenalkan, merangkumi lima nilai utama iaitu Keilmuan, Kepatuhan, Kebajikan, Kebersihan, dan Kesejahteraan.
Ia bertujuan memastikan segala aspek pembangunan bandar raya ini selaras dengan ajaran dan nilai-nilai Islam.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah, usaha tersebut penting sebagai rujukan masa depan dan merupakan langkah permulaan untuk memperluas pelaksanaan prinsip berkenaan ke Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di seluruh negeri.
“MPKB-BRI secara berterusan menilai dan menyemak hala tuju pentadbiran serta pelaksanaan program agar kekal menepati prinsip 'Lima Kaf'.
"Laporan dokumentasi ini akan menjadi rujukan utama kerajaan negeri dalam mengembangkan konsep ini ke PBT lain."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah dalam Persidangan Kali Yang Kedua bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas 2025, hari ketiga, hari ini.
![]() |
YB Nik Bahrum Nik Abdullah, Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka |
Dalam persidangan tersebut, YB Hilmi turut menjelaskan tentang pencapaian MPKB-BRI berdasarkan prinsip 'Lima Kaf'.
"Bagi Keilmuan, MPKB-BRI telah meraih pengiktirafan cemerlang apabila dianugerahkan penarafan lima bintang dalam audit sistem penarafan bintang PBT pada tahun 2018, 2022 dan 2024.
"Di samping itu, MPKB-BRI muncul juara Anugerah Inovasi Sektor Awam Kelantan (AISAK) 2018 hasil pelaksanaan pelan kelulusan pembinaan bangunan dalam satu hari," jelasnya.
Hurainya, mesej dakwah turut diperluas melalui pelbagai saluran termasuk media sosial, media elektronik dan bahan bercetak.
Dari sudut Kepatuhan, MPKB-BRI telah menjalin kerjasama strategik bersama agensi, perbadanan dan komuniti tempatan sejak 2020 untuk memperkukuh pembangunan ekonomi, promosi warisan budaya serta meningkatkan perkhidmatan bandar demi memenuhi matlamat pembangunan mampan.
Bagi Kebajikan, pelbagai inisiatif dilaksanakan seperti pengecualian bayaran lesen semasa pandemik COVID-19, penyediaan gerai dan peralatan niaga kepada golongan asnaf, ibu tunggal dan penjaja yang layak, selain kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti tempat letak kereta khas dan tandas awam.
Sementara itu, bagi teras Kesejahteraan, MPKB-BRI telah membaik pulih 100 unit rumah serta membina lebih 20 rumah baharu sehingga tahun 2024 bagi membantu keluarga yang memerlukan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.
Dari aspek kebersihan, MPKB-BRI mewujudkan Jawatankuasa kenaziran bagi penyeliaan kemudahan dan infrastruktur bidang pendidikan. Jawatankuasa ini juga membantu membudayakan kualiti inovasi dan kreativiti seperti ceramah kesedaran menjaga kebersihan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah," jelas beliau.
Tambah YB Hilmi, dengan adanya laporan dokumentasi lengkap itu perbincangan lanjut bersama PBT lain di negeri Kelantan akan digerakkan bagi mencontohi pendekatan MPKB-BRI dalam mengintegrasikan nilai Islam ke dalam pembangunan bandar.
0 Comments