Kerajaan Negeri Kelantan Fokus Pembangunan Wanita Muda Berakhlak dan Berdaya Saing 2025

YB Zamakhshari Muhamad,
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan

Oleh : Che Maziah Mat

KOTA DARULNAIM, 22 Julai – Kerajaan Negeri Kelantan terus memperkukuhkan agenda pembangunan wanita muda atau beliawanis dengan pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi sepanjang tahun 2025, yang merangkumi aspek akhlak, kepimpinan, kesihatan dan jati diri.

Menurut Exco Belia, Sukan, NGO, dan Perpaduan Masyarakat, YB Zamakhshari Muhamad, pelaksanaan program ini adalah hasil kerjasama strategik antara Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) bersama NGO rakan pelaksana, bertujuan membentuk generasi wanita muda yang berakhlak, berdaya tahan dan progresif.

“Antara program yang dirancang ialah Fun Run Beliawanis 3.0, yang menyasarkan lebih 2,800 peserta di seluruh negeri dengan pengisian akhlak dan motivasi patuh syariah, selain Program Santai Sang Puteri akan membawa golongan remaja perempuan yang berumur 15 hingga 21 tahun menyertai lawatan berinformasi ke lokasi menarik sambil mengikuti modul pembinaan kendiri.

"Turut dirancang juga ialah Ziarah Beliawanis, yang merupakan satu inisiatif penghargaan kepada beliawanis yang cemerlang, bergraduasi atau mengalami musibah, pada masa sama Himpunan Ameerah Kelantan (HAMKA) berjaya menghimpunkan 500 wanita muda aktif NGO untuk memperkukuh kepimpinan dan kefahaman dakwah,” katanya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, hari ini menjawab persoalan YB Shaari Mat Yaman daripada Bunut Payong.

YB Shaari Mat Yaman,
Ahli Dewan Negeri (ADN) Bunut Payong

Sementara itu, tambahnya lagi program Usrah Beliawanis Umum dijalankan secara bulanan untuk membentuk fikrah dan perkongsian ilmu. Manakala bagi golongan remaja, kerajaan negeri turut meneruskan Program Kem Akil Baligh dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Keluarga Kelantan bagi memberi pendedahan awal berkaitan kesihatan reproduktif, akhlak Islamiah dan isu sosial kepada remaja perempuan berumur 11 hingga 15 tahun.

“Pada Mei lalu, Kem Wanita Remaja Unggul (KEWAJA) telah dilaksanakan dan memberikan impak positif dari sudut kepimpinan, kemahiran sosial dan pengendalian acara rasmi dalam kalangan remaja wanita.

"Justeru, kerajaan turut merancang pelbagai program kemahiran bersasar termasuk Bengkel Penyelenggaraan Kenderaan Beliawanis, Program Memanah Sunnah, Beliawanis Bersama Si Tangkas (Berkuda) serta Hiking Merdeka Beliawanis, bertujuan memperkasa daya tahan fizikal dan emosi beliawanis,” ujarnya.

Turut dimasukkan Perkhemahan Perdana Briged Banat, yang menyasarkan pelajar perempuan dalam latihan survival, kawad dan kecemasan, serta Kursus Instructor Aerobik Wanita yang bertujuan melahirkan jurulatih wanita patuh syariah dalam bidang kecergasan.

Kesemua inisiatif ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk membina generasi wanita muda yang bukan sahaja memiliki akhlak mulia, bahkan juga berkemahiran tinggi, berdaya kepimpinan serta mampu mendepani cabaran semasa berpaksikan nilai Islam.

Post a Comment

0 Comments