Kuala Krai bakal ada sekolah berasrama penuh SMKA


Oleh: Norzana Razaly

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Jajahan Kuala Krai bakal menerima sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersetuju menghantar cadangan rasmi bagi pembinaan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di kawasan itu.

Menurut jawapan rasmi Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek dalam soalan lisan di Dewan Rakyat sebagai jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai YB Abdul Latiff Abdul Rahman pada 21 Julai lalu, KPM memandang serius cadangan berkenaan dan akan mempertimbangkan pelaksanaannya berdasarkan keutamaan semasa serta kemampuan kewangan negara.

“KPM tetap komited dalam memperluas akses pendidikan berkualiti melalui pembangunan institusi lain. Dalam hal ini, KPM merancang pembinaan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Kuala Krai, Kelantan, yang telah disenaraikan dalam Rolling Plan ke-1 (RP1) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Walau bagaimanapun, kelulusan projek ini tertakluk kepada pertimbangan keutamaan serta kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya.




Menurutnya lagi, sehingga kini, terdapat lima buah SBP di negeri Kelantan iaitu Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di Pengkalan Chepa, Sekolah Menengah Sains Machang, Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Sekolah Menengah Sains Jeli dan Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan bahawa pembinaan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah sedang giat dijalankan dengan kemajuan kerja mencecah 89 peratus, dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2026.

Mengulas perkembangan itu, YB Abdul Latiff menzahirkan penghargaan terhadap KPM dan menyifatkan langkah tersebut suatu yang positif memandangkan Kuala Krai masih belum mempunyai SBP.

"Kita berharap agar pihak kerajaan dapat menyenaraikan projek SMKA di Kuala Krai dalam RP1 dalam RMK-13 yang akan dibentangkan esok," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Post a Comment

0 Comments