Lumba jentera pembajak sawah tarik perhatian penduduk

A Rahman Harun


BACHOK: Lima jentera pembajak sawah padi bersaing antara satu sama lain sempena program Bina Ummah Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat semalam.

Kelima-lima jentera tersebut berlumba bagi meraih kemenangan pada program tersebut.

Perlumbaan tersebut menarik perhatian lebih 600 penduduk Mukim Bakong dan Telaga Ara.

Adun Jelawat, Zameri Mat Nawang berkata, semua kenderaan tersebut berarak sejauh dua kilometer sekitar Kampung Kual Besar sebelum menyertai perlumbaan.

"Ini antara aktiviti kita yang paling *special* sekali, kerana lumba kereta pembajak tidak pernah dibuat di tempat lain. Alhamdulillah sambutan amat baik dan meriah.

"Sebelum ini kita ada perarakan kereta gala, perarakan dua kilometer pusing kampung, jadi ini antara perkara yang mencuri perhatian rakyat," kata beliau selepas merasmikan program Bina Ummah di sini.



Timbalan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu menjelaskan, permainan tradisional turut diperkenalkan semula termasuk 'cakjing' dan *bidas para*.

Beliau berkata, aktiviti yang dahulunya dilakukan ketika masa lapang semakin dilupakan, malah generasi muda hari ini dilihat kekok dan tidak mahir dengan permainan tradisional.

"Kita turut adakan permainan kanak-kanak zaman dahulu. Macam cakjing, kita tengok remaja tidak tahu cara nak main macam mana, tetapi benda-benda ini perlu dikembalikan semula supaya anak-anak kita kenal permainan zaman dahulu," katanya.

Post a Comment

0 Comments