![]() |
YB Dato’ Dr. Izani Husin, Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 14 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memberi jaminan bahawa isu tunggakan bil elektrik melibatkan syarikat utiliti itu akan diselesaikan secara berperingkat, hasil penjadualan semula pembayaran yang telah dibuat bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Exco Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, tunggakan berjumlah RM61 juta itu berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu yang mengganggu kakitangan daripada urusan membuat kutipan dan pembacaan meter.
Situasi tersebut menyebabkan kutipan bayaran pengguna terganggu dan kos operasi, khususnya bil elektrik, terus meningkat.
"Antara kos yang tinggi dalam pengurusan air adalah elektrik. Ketika PKP dulu, pekerja tidak boleh keluar rumah, jadi kutipan bayaran tidak dapat dijalankan seperti biasa. Selepas PKP, kita telah jadualkan semula bayaran dan ikut jadual itu. Cuma dalam bil semasa, ada sesetengah perkara yang terlepas pandang,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di Mabna, Kompleks Kota Darulnaim pada Rabu.
Tambah beliau, berlaku kenaikan kos elektrik disebabkan caj tambahan ICPT (Pelepasan Kos Tidak Seimbang) yang dikenakan oleh TNB serta kelewatan pelaksanaan tarif baharu air juga menjadi punca tunggakan tersebut.
"Pada tahun 2022, caj ICPT meningkat sebanyak 23 peratus yang menyebabkan purata bil elektrik meningkat RM3.4 juta sebulan, manakala pada tahun 2023, ia meningkat lagi sebanyak 9 peratus dengan purata tambahan RM3.7 juta sebulan.
"Kelewatan pelaksanaan tarif baharu air yang sepatutnya bermula pada April 2019 dengan kenaikan purata 30 peratus. Walau bagaimanapun, pelaksanaan tersebut hanya bermula pada Ogos 2022 bagi kategori domestik dan Februari 2024 bagi kategori bukan domestik setelah tertangguh atas arahan Kerajaan Persekutuan," tambahnya.
Isu berkenaan juga telah dibawa ke peringkat mesyuarat exco dan tindakan sewajarnya sedang dirangka.
Mengulas tentang kenaikan tarif air, Dato' Dr. Izani menyatakan bahawa kerajaan persekutuan telah menyaran semua negeri menyemak semula tarif air kerana kadar sedia ada tidak lagi mencukupi untuk menampung kos operasi yang semakin meningkat rentetan kenaikan tarif elektrik baru-baru ini.
“Kerajaan persekutuan pun tengok bahawa tarif air ini tidak dapat tidak, perlu dinaikkan sedikit. Saya sendiri telah berjumpa dengan pihak Akademi Sains Malaysia dan mereka sebut penyelesaian jangka panjang bagi isu air di Kelantan ialah dengan menyemak semula tarif air,” jelas beliau.
Namun begitu, katanya, sebarang keputusan berkaitan pelarasan tarif akan dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak membebankan rakyat.
“Kita faham, TNB sebagai syarikat perniagaan juga mahu keuntungan, jadi mereka naikkan tarif. Kita juga perlu lihat begitu, tetapi dalam masa yang sama kita kena fikir rakyat. Naik boleh, tapi jangan sampai menganiaya,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa pihak TNB sendiri telah mengadakan perbincangan awal dengan AKSB bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap tunggakan berkenaan.
Dato' Dr. Izani menegaskan bahawa pengurusan AKSB kini berada dalam landasan yang lebih baik dan optimis bahawa semua perkara yang dibangkitkan akan dapat diselesaikan secara berhemah dalam masa terdekat.
0 Comments