Kutipan bil air merosot era pandemik Covid-19


KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menjelaskan punca utama tunggakan bil elektrik sebanyak RM61.83 juta disebabkan kutipan bil merosot mendadak semasa dalam tempoh pandemik Covid-19 pada 2020-2022 kerana aktiviti pengebilan terjejas.

Selain itu berlaku kenaikan kos elektrik disebabkan caj tambahan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum pelarasan tarif air AKSB dilaksanakan.

Faktor ketiga kelewatan pelaksanaan tarif baharu air yang sepatutnya bermula pada April 2019 dengan kenaikan purata 30 peratus. 

Bagaimanapun anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Dr Izani Husin berkata, pelaksanaan tersebut hanya bermula pada Ogos 2022 bagi kategori domestik dan Februari 2024 bagi kategori bukan domestik setelah tertangguh atas arahan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jumlah tunggakan tersebut sebanyak RM61.83 juta merangkumi RM51.42 juta tunggakan prinsipal dan RM10.41 juta caj penalti.

“Tunggakan bil elektrik kepada TNB dalam tempoh sehingga Jun 2025. Pada tahun 2022, caj ICPT meningkat sebanyak 23 peratus yang menyebabkan purata bil elektrik meningkat RM3.4 juta sebulan.

“Manakala pada tahun 2023, ia meningkat lagi sebanyak 9 peratus dengan purata tambahan RM3.7 juta sebulan,” katanya pada kenyataan hari ini. 

Kelmarin Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada jawapan di Parlimen dilapor berkata, AKSB berhutang kira-kira RM61 juta dengan TNB bil elektrik yang belum dijelaskan setakat 30 Jun lepas.

Dr Izani berkata, bagi mengatasi isu itu AKSB mengadakan perbincangan dengan TNB negeri pada 14 Ogos 2024 dan telah memulakan pembayaran sebanyak RM500,000 sebulan bermula September 2024. 

Selain itu, AKSB akan mencadangkan kepada Lembaga Pengarah untuk menaikkan bayaran bulanan kepada RM1 juta bermula Januari 2026 selepas pelaksanaan tarif baharu. 

Kata beliau langkah itu dijangka akan memendekkan tempoh penyelesaian tunggakan prinsipal kepada lima tahun. 

“AKSB juga akan mengadakan rundingan dengan TNB untuk memohon pengecualian caj penalti sekiranya bayaran bulanan dinaikkan seperti yang dirancang.

“AKSB komited memastikan pembayaran dibuat secara teratur dalam tempoh 30 hingga 45 hari dengan purata kos RM3.5 juta sebulan,” ujarnya.  

Menurutnya juga kerajaan negeri dan AKSB akan terus komited menyelesaikan tunggakan secara berperingkat, mengekalkan disiplin pembayaran bil semasa dan meningkatkan kecekapan operasi.

Post a Comment

0 Comments