Bawang di Kelantan dapat dituai selepas 60 hari

SALMAH MAT HUSAIN


BACHOK: Projek tanaman bawang di Kelantan mencatat kejayaan apabila tuaian pertama berjaya dilakukan selepas hanya 60 hari penanaman.

Projek tersebut dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di mana hasil tuaian pertama mencecah 18,400 kilogram.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bawang yang ditanam hanya mengambil masa dua bulan untuk matang.

Katanya, sebahagian hasil tuaian pertama akan digunakan sebagai benih bagi pusingan penanaman seterusnya, manakala sebahagian lagi akan dipasarkan di pasaran tempatan.

“Projek ini adalah konsep pertama untuk memberi semangat kepada petani.


“Dua varieti bawang iaitu BAW 1 dan BAW 2 digunakan, di mana benih yang dihasilkan sepenuhnya dalam negara,” katanya kepada media pada majlis Penuaian Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di TKPM Telong semalam.

Sebanyak 10 usahawan terlibat dalam projek tersebut melibatkan kawasan seluas 4.6 hektar, menggunakan kaedah penanaman konvensional serta fertigasi gantung. 

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kualiti bawang dipengaruhi faktor cuaca. Penanaman di bawah struktur pelindung hujan atau rumah hijau dijangka dapat meningkatkan hasil.

Kata beliau projek itu diharap menjadi permulaan kepada pengeluaran bawang tempatan secara lebih besar dan berterusan di Kelantan.

Menurutnya juga bawang keluaran tempatan memberi pilihan kepada orang ramai dan dapat mengurangkan kebergantungan 100 peratus bekalan import.

“Tanaman bawang juga dilaksanakan di Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli.

Manakala beberapa daerah lain akan menyusul setelah benih tiba hujung bulan ini.

“Inisiatif tersebut hasil kerjasama strategik kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Jabatan Pertanian,” ujarnya.


Kata beliau juga program itu membuka peluang ekonomi kepada usahawan tani tempatan dengan memberi panduan pelaksanaan aktiviti penuaian serta proses pasca-tuaian sebelum dipasarkan.

Beliau juga berkata, program terbabit selaras dengan pelan strategik makanan negara untuk mengurangkan kebergantungan import dan memantapkan pengeluaran bawang tempatan.

Program berkenaan turut disokong pelbagai agensi teknikal termasuk Jabatan Pertanian, MARDI dan FAMA.

Post a Comment

0 Comments