Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
PASIR PUTEH, 10 Ogos – Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 diyakini menjadi pemacu utama perancangan dasar pertanian negara yang lebih menyeluruh dan mampan, melalui penyediaan data asas yang komprehensif serta terkini bagi sektor itu.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, dapatan bancian amat penting untuk membantu kerajaan merancang dasar yang menyokong pertumbuhan jangka panjang sektor pertanian.
“Sebanyak 87,203 pegangan pertanian individu di Kelantan dikenal pasti melibatkan aktiviti pengeluaran tanaman, penternakan, perikanan, akuakultur, pembalakan dan perhutanan.
"Sektor ini didominasi kumpulan umur 60 tahun ke atas, iaitu 42,402 orang atau 48.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengusaha,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail ketika merasmikan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Kelantan di Dewan Tok Janggut, Jeram Mengaji Agro Resort, di sini, hari ini.
Beliau berkata, data bancian membolehkan agensi berkaitan mengenal pasti petani dan penternak yang layak menerima bantuan seperti subsidi baja, benih dan skim pembiayaan, selain merancang kemudahan infrastruktur seperti jalan ladang, sistem pengairan dan pusat pengumpulan hasil.
“Maklumat lengkap seperti keluaran hasil, kawasan tanaman dan populasi ternakan juga boleh dimanfaatkan pelabur dan pengeksport bagi merancang kerjasama strategik serta peluang perniagaan baharu. Dengan mengetahui tahap pengeluaran makanan, kerajaan dapat merancang pengimportan atau stok simpanan secara bijak, sekali gus menjamin keselamatan makanan negara,” katanya.
Majlis turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan Mohd Shahrill Abd Rashid dan pengarah-pengarah agensi pertanian negeri.
0 Comments