Penulis perlu angkat nilai intelektual – Datuk Kamarudin


Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA BHARU, 10 Ogos – "Penulis harus berperanan sebagai cendekiawan yang dekat dengan ilmu dan menghasilkan karya bersifat intelektual, bukan sekadar pragmatik," kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Datuk Kamarudin Md Nor.

"Hanya orang yang pandai sahaja boleh membaca dan menulis, maka tulislah sesuatu yang bersifat intelektual, bukan semata-mata pragmatik,” jelasnya ketika merasmikan Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan (PPAK), di sini, pada Sabtu.

Beliau menegaskan bahawa pragmatisme kini semakin mengatasi nilai seni, sedangkan seni Melayu menekankan adab, budi dan hikmah.

“Dalam kisah Badang, pahlawan beradu dengan seteru secara budiman dan penuh taktik halus. Seni orang Melayu menjatuhkan lawan dengan sopan tanpa menghina seteru. Inilah ilmu yang menjadi asas peradaban,” ujarnya.

Wacana ilmu anjuran Kerajaan Negeri Kelantan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Gabungan Penulis-Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dan PPAK itu menghimpunkan 200 peserta bagi mendalami ketokohan enam ilmuan Islam silam dan kontemporari.

Antara pembentang utama ialah Tokoh Budayawan Sepanjang Zaman Dato’ A. Aziz Deraman yang berkongsi ketokohan Shaikh Daud Al-Fatoni manakala Prof. Madya Dr. Nur Azuki dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang membicarakan sumbangan Tok Selehor dan Prof. Madya Dr. Aila Abdul Latif dari Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS) mengenai Imam Al-Ghazali.



Sementara itu, sesi kedua menampilkan sarjana Dr. Muhamad Fadzil Yusoff dari IPGM Kampus Kota Bharu tentang Ibn Battuta serta Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenai Prof. Dr. Abdus Salam. dan Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik membicarakan sumbangan Al-Biruni.

Semua kertas kerja tersebut dibukukan dalam Prosiding Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 2.0 terbitan GEMA, 2025 (ISBN 978-983-9428-69-8).



Post a Comment

0 Comments