Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 25 Ogos – Kerajaan Negeri Kelantan bertekad mentadbir negeri berdasarkan perintah Allah dan sunnah Rasulullah, meneruskan legasi pentadbiran Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memulakan inisiatif Desa Taqwa sejak tahun 1991.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan bahawa kekuatan dan keberkatan sesebuah kampung atau masyarakat terletak pada sikap pemimpin dan rakyat yang bertakwa serta taat kepada suruhan Allah SWT.
Menurutnya, hanya mereka yang beriman akan menerima rahmat dan keberkatan dunia hingga akhirat, manakala yang kufur akan menempuh azab seperti nasib kaum Tsamud, kaum ‘Ad dan kaum Nabi Lut a.s.
Beliau mengaitkan kejadian bencana alam seperti angin puting beliung di Vietnam, banjir di India, dan pandemik COVID-19 di seluruh dunia adalah peringatan dan ujian yang harus disedari masyarakat.
Beliau turut mengingatkan ancaman sains moden seperti objek angkasa sebesar negeri Kelantan yang dikatakan menuju ke bumi pada November nanti, yang mencetuskan ketakutan global.
Beliau juga menyorot krisis sosial dan moral yang semakin meruncing, termasuk kes pencabulan dalam kalangan keluarga sendiri dan isu LGBT yang berleluasa, sebagai faktor yang mengundang kemurkaan Allah.
"Kalau kita benar-benar beriman, tiada orang miskin atau kelaparan di kampung kerana pemimpin dan masyarakat saling bantu-membantu dan kita tidak bimbang azab Allah datang pada bila-bila masa," katanya ketika merasmikan Majlis Pemerkasaan Desa Taqwa 2025 di Kampung Gelang Mas, hari ini.
![]() |
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan |
Menurutnya lagi, program pemerkasaan Desa Taqwa tersebut bertujuan membina masyarakat beriman dan bertakwa dengan pembangunan seimbang di antara aspek rohani dan kebendaan.
Sehubungan itu, beliau memetik pandangan penulis buku Excellence Without a Soul: Does Liberal Education Have a Future?), 2006 oleh Harry R. Lewis.
“Profesor sains komputer dan bekas dekan Kolej Harvard itu mengkaji keadaan institusi asalnya, walaupun kebanyakan apa yang beliau nyatakan turut berkaitan dengan pendidikan tinggi di Amerika secara amnya.
Buku ini menyatakan bahawa kemajuan manusia tanpa jiwa dan nilai spiritual akan membawa kerosakan dunia.
“Jadi, Desa Taqwa Kampung Gelang Mas dipilih sebagai salah satu daripada sepuluh Desa Taqwa untuk projek rintis pemerkasaan dengan infrastruktur lengkap seperti sekolah agama dan kebangsaan, klinik, jalan raya, masjid dan pondok agama.
“Usaha ini adalah manifestasi dasar "Membangun Bersama Islam" yang meliputi lima teras strategik utama iaitu agama, sosial, pendidikan, ekonomi dan prasarana,” katanya.
Mengulas lanjut, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli menegaskan bahawa sebanyak 101 Desa Taqwa telah diwujudkan secara berperingkat di seluruh Kelantan. Namun, selepas 30 tahun, program itu dilihat semakin terpinggir.
“Bermula 2019, kerajaan negeri mengambil inisiatif memperkasakan kembali Desa Taqwa melalui pelan tindakan strategik dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
“Dengan pemilihan 10 Desa Taqwa sebagai projek perintis, kerajaan berhasrat menjadikan program ini sebagai model pembangunan kampung contoh bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di seluruh negara.
“Kerajaan negeri juga berharap agar semua pihak terlibat, termasuk ketua jajahan yang bertindak sebagai pengerusi Desa Taqwa dapat menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi memastikan kejayaan agenda pemerkasaan ini,” jelasnya.
Turut hadir, pada majlis tersebut ialah Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Muhammad, ADN Chetok YB Zuraidin Abdullah dan Ketua Jajahan Pasir Mas Shamsul Abu Bakar.
.
0 Comments