U-BeS asah kemahiran belia, 20 peserta belajar teknik gunting rambut

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media U-BeS

KOTA BHARU, 25 Ogos – Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) Kelantan terus mengasah kemahiran anak muda Kelantan dalam bidang dandanan rambut kepada 20 belia tempatan.

Mereka menyertai Kursus Gunting Rambut Lelaki yang dikendalikan oleh tenaga pengajar bertauliah dan berpengalaman di Pusat Belia Kelantan, Aras Atas Medan Usahawan Kota Bharu bermula 24 hingga 28 Ogos.

Pengarah U-BeS Mohamad Kamal Mohamed berkata, kursus lima hari itu dianjurkan secara percuma khusus untuk belia lelaki berumur antara 18 hingga 35 tahun. 

Pengarah U-BeS Mohamad Kamal Mohamed

“Bagi memastikan peserta memperoleh ilmu yang praktikal, berkualiti selaras dengan keperluan industri, kita dapatkan pakar untuk membimbing peserta terpilih.

“Penyertaan kursus ini dihadkan kepada 20 peserta sahaja dan setiap peserta diberikan bahan pembelajaran, modul, serta makanan secara percuma sepanjang program berlangsung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya lagi, program berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai asas kemahiran menggunting rambut lelaki yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan di masa hadapan.

“Pada hari pertama kursus, para peserta didedahkan dengan pengenalan asas termasuk cara penggunaan mesin rambut, fungsi pisau cukur dan teknik asas menggunting. 

Mereka juga mempelajari pelbagai gaya guntingan popular seperti undercut dan uppercut, serta fungsi jenis-jenis sikat yang digunakan dalam bidang tersebut,” jelasnya.




Post a Comment

0 Comments