SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Forum perdagangan Malaysia-Thailand memberi peluang usahawan dari kedua-dua pihak memahami keperluan bersama bagi memperluaskan pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, forum tersebut memberi peluang untuk memperkenal produk Kelantan.
Antaranya batik bermotif unik, murtabak raja, makanan sejuk beku termasuk karipap dan lain-lain produk untuk diperluas ke pasaran Thailand.
“Dengan adanya forum sebegini kita dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih rapat. Kita juga boleh pasarkan produk ke negara jiran,” katanya selepas merasmikan majlis Thailand-Malaysia Trade Partnership Forum 2025 di sebuah hotel, di sini hari ini.
Hadir sama Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Mr Phasit Chudabuddhi.
Md Anizam berkata, produk dari negara jiran mempunyai kelebihan tersendiri dan pertukaran pasaran akan memberi manfaat kepada usahawan di kedua-dua negara.
Kata beliau juga Kelantan akan terus memperkukuhkan hubungan rapat dengan Thailand termasuk dalam bidang perdagangan.
Menurutnya usaha itu dapat dipertingkatkan lagi dengan pembinaan jambatan kedua Sungai Golok yang bakal merancakkan lagi hubungan dua hala.
“Begitu juga sekiranya Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dilanjutkan sehingga ke sempadan Thailand ia dapat memperkukuh mobiliti perdagangan dan pelancongan.
“Sekarang terdapat tiga pintu masuk ke Kelantan dari Thailand iaitu Bukit Bunga, Pengkalan Kubor dan Sungai Golok,” ujarnya.
Beliau juga berkata, kerjasama rentas sempadan perlu digerakkan secara aktif termasuk melalui inisiatif agensi kerajaan bagi membolehkan produk tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

0 Comments