HPPNK 2025: Kelantan hargai sumbangan petani, penternak dan nelayan

Ucapan Perasmian oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan
YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud,
Menteri Besar Kelantan

Oleh: Asri Hamat

BACHOK, 20 Ogos – Program Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 yang berlangsung selama lima hari bermula 20 hingga 24 Ogos di Pantai Irama Bachok disifatkan sebagai agenda penting dan dinanti-nantikan golongan peladang, penternak dan nelayan yang merupakan antara tulang belakang negara.

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, program yang bertemakan 'Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi' tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan untuk mendekati serta menyantuni para petani, penternak dan nelayan yang banyak berjasa bukan sahaja kepada negeri bahkan negara.

“Program ini menjadi suatu agenda besar yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh warga peladang, penternak dan nelayan yang saya sifatkan sebagai barisan hadapan negara,” katanya dalam ucapan perasmian HPPNK di sini, hari ini.

Menurut beliau, sektor pertanian kekal sebagai penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri Kelantan yang menyumbang lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di belakang sektor perkhidmatan yang mencatatkan lebih 69 peratus.


Tambahnya, prestasi sektor agromakanan dan pengeluaran hasil pertanian negeri menunjukkan peningkatan berterusan hasil kerjasama erat pelbagai agensi dan jabatan serta dedikasi para peladang, penternak dan nelayan.

“Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat. Ini adalah kejayaan bersama,” katanya lagi.

Jelas beliau lagi, dalam usaha memperkukuh sektor agromakanan ini, Kerajaan Negeri Kelantan turut melaksanakan pelbagai pendekatan melalui program HPPNK bagi memberi pendedahan ilmu, perkongsian pengalaman serta penemuan kaedah dan teknik pertanian moden kepada rakyat, khususnya generasi muda.

“Usaha ini tidak terhad kepada warga peladang, penternak dan nelayan sahaja tetapi turut melibatkan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuk anak muda,” ujar beliau.


Mengulas mengenai masa depan bidang pertanian, beliau berkata prospek dalam sektor ini sangat luas dan terbuka kepada anak-anak muda yang berani mencuba serta memiliki kemahiran.

“Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian kini semakin mendapat perhatian di peringkat nasional. Kelantan tidak terkecuali dalam meneroka potensi ini,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha pelaksanaan TVET di bawah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) telah menunjukkan hasil membanggakan melalui penglibatan sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan, pondok serta institusi tahfiz swasta.

“Inilah sikap dan iltizam kerajaan negeri yang sentiasa komited memastikan pembangunan sosioekonomi rakyat sentiasa bergerak ke hadapan, meskipun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Dalam majlis tersebut, YAB Menteri Besar turut menyampaikan anugerah kepada 19 orang yang berjaya dalam sektor pertanian, perladangan, perikanan, penternakan dan nelayan.


Antara penerimanya adalah Dato' Rohashimi Razak yang menerima anugerah usahawan tani jaya. Beliau berjaya membangunkan ladang musang king terbesar di Malaysia dengan keluasan 3,000 hektar.

Syarikatnya Sindiyan Plantation Sdn Bhd yang terletak di Lojing, Gua Musang pernah mencatat Malaysia Book of Records pada tahun 2024, kerana ladang beliau mampu mengeluarkan 200 metrik tan durian musang king dan dipasarkan di pasaran tempatan.

YAB Menteri Besar juga turut melancarkan produk makanan ternakan jenama OxyFAT yang dihasilkan melalui kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) bersama Oxytech Sdn Bhd dan pihak RHB Bank selaku rakan pembiaya projek makanan ternakan dan kilang makanan ternakan.


Hadir sama, Mantan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Faziharudean al-Haj Tengku Feisal, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, YB Dato' Idham Abdul Ghani, Pegawai Kewangan Negeri Kelantan, YB Dato’ Rosnazli Amin, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, YB Helmi Dato' Harun, Ahli-Ahli Dewan Negeri (ADN) dan Parlimen, ketua-ketua jajahan , ketua -ketua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan.



Post a Comment

0 Comments