![]() |
YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri Kelantan |
Oleh: Asri Hamat
BACHOK, 20 Ogos - Kelantan berjaya menghasilkan anak lembu betina pertama dari baka Charolais melalui kaedah straw permanian beradas hasil dari makmal sendiri.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, anak lembu tersebut dilahirkan pada awal tahun lepas yang diusahakan melalui Projek Pelestarian Lembu Naimbif dan Pusat Bio Animal Reproduction Center (BIO-Art) di Jeram Pasu, Pasir Puteh.
"Pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 ini, pihak kerajaan negeri akan mempamerkan baka anak lembu ini yang telah berumur hampir dua tahun, khas untuk para pengunjung yang diberi nama Marconah anak kepada Marco," katanya ketika memberi ucapan aluan di majlis perasmian HPPNK 2025, di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri Kelantan juga melalui agensi Kelantan Biotech Corporation menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) dan Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaaan (IBVK), Jerantut untuk menghasilkan benih berkualiti.
Menyentuh tentang HPPNK, beliau berkata, ia sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam menghargai usaha penat lelah dalam kalangan para petani, peladang, penternak dan nelayan dalam berjuang menyediakan sumber makanan untuk kita semua.
"Program tersebut dianjurkan bagi mencapai fokus utama mendekatkan lagi masyarakat dengan dunia pertanian, perladangan, penternakan dan perikanan yang menjadi nadi utama ekonomi di negeri ini.
"Ia juga merupakan satu usaha pihak kerajaan negeri dalam mempromosikan bidang pertanian, penternakan dan perikanan kepada orang ramai khususnya rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia amnya," ujar beliau.
![]() |
Aturcara HPPNK 2025 |
Pelbagai pengisian acara, program dan aktiviti disusun sepanjang HPPNK 2025 antaranya, pameran agensi dan jabatan serta syarikat berkaitan kerajaan(GLC), syarikat swasta yang berkaitan dengan sektor pertanian, penternakan dan perikanan serta pameran ternakan di Laman Veterinar yang menghimpunkan lebih 220 ekor lembu sado selain dari ternakan lain.
Selain itu turut diadakan ialah promosi jualan dan pemasaran, seminar, taklimat, ceramah demonstrasi dan penerangan yang berkaitan dengan sektor pertanian, perternakan dan perikanan, persembahan kebudayaan, pertandingan hasil pertanian, pertandingan memancing, pertandingan sepakan penalti dan banyak lagi.
Beliau berharap penganjuran HPPNK yang dilaksanakan pada tahun ini dapat memberi manfaat yang berterusan kepada rakyat selain dari program-program, inisiatif dan projek yang lain yang sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa di bawah Gerakan Pertanian Al-Falah dan gagasan Bertani Satu Ibadah.
0 Comments