ABDUL RAHMAN HARUN
KUALA LUMPUR: Kematian tragis adik Zara Qairina Mahathir menghangatkan sidang Dewan Rakyat apabila menarik perhatian pembangkang dan penyokong kerajaan.
Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) ketika mencelah perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Dato' Seri Takiyuddin Hassan mencadangkan menteri meletak jawatan susulan kejadian itu.
![]() |
Datuk Rosol |
"Dua kementerian terlibat iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setuju ke kalau yang kedua-dua meletak jawatan kerana gagal," katanya di Dewan Rakyat semalam.
Allahyarham Zara sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu.
Media melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menghantar pasukan khas ke Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara.
Jenazahnya kemudian digali semula dan dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth bagi mengetahui punca kematian.
Takiyuddin mempersoalkan proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham Zara Qairina gagal dilaksanakan di peringkat awal susulan kematian tragis.
"Kes seperti ini perlu diadakan post-mortem, kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan post mortem selepas kematiannya," katanya.
![]() |
Datuk Seri Saifuddin |
Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) pula melahir penghargaan terhadap keputusan Ketua Polis Negara kerana menubuh pasukan khas dari Bukit Aman untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian Zara.
"Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan tersebut merangkumi mengenal pasti pegawai dan anggota polis terlibat siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna sebelum ini," katanya.
0 Comments