KAHERAH: Kerajaan Kelantan berusaha memperkasakan Pusat Bahasa Antarabangsa (IBA) di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Pusat Bahasa Arab Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan Markaz Tatwir Al-Azhar.
Katanya, pembangunan program dan inisiatif bersama dirancang yang bersesuaian antara kedua-dua pihak.
“Ini sebahagian pelan strategik bagi memperkukuhkan kerjasama akademik dan pendidikan antara KIAS, YIK dan Pejabat Atase Pendidikan Kelantan Kaherah.
“Hasrat utama untuk memartabatkan penguasaan Bahasa Arab di KIAS dan YIK,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Pengarah Markaz Tatwir Al-Azhar Dr Nahla As-Sa‘idi di Markaz Tatwir, dekat sini semalam.
Dr Nahla juga merupakan Penasihat Sheikh Al-Azhar Bagi Urusan Pelajar Luar Negara.
Pada pertemuan itu delegasi Kelantan diketuai Timbalan Menteri Besar Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Hadir sama Pengarah YIK Zulkfli Abdul Rahman, Rektor KIAS Prof Dr Mazlan Ibrahim, Timbalan Pengarah Akademik YIK Sukri Hussein dan Timbalan Rektor KIAS Dr Nurul Akma Mohamed.
Wan Roslan juga berkata, Dr Nahlah dijangka mengunjungi Kelantan pada Oktober ini.
Sementara itu Dr Nahlah pada catatan di laman sosialnya berkata, kerajaan Kelantan mengadakan kerjasama dengan Markaz Tatwir Al-Azhar bagi menubuh Pusat Al-Azhar untuk pengajaran Bahasa Arab di Malaysia.
Selain itu katanya bagi meningkatkan kerjasama akademik dengan KIAS dan YIK.
“Hubungan sejarah di antara Al-Azhar Sharif dan Malaysia menunjukkan kepentingan meluaskan kerangka kerjasama akademik bagi memenuhi keperluan pelajar dan guru di Malaysia.
“Penubuhan Pusat Al-Azhar Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia akan mewakili platform pendidikan bersepadu termasuk penyediaan program khusus dalam pengajaran bahasa Arab untuk penceramah dan lain-lain,” katanya.
Selain itu pelaksanaan kurikulum moden bagi memastikan kualiti pendidikan dan mempertimbangkan perbezaan budaya serta bahasa dalam kalangan pelajar.
0 Comments