Oleh: Norzana Razaly
PASIR MAS, 8 Ogos 2025 – Umat Islam diingatkan bahawa hubungan rohani dengan Rasulullah SAW tidak pernah terputus meskipun Baginda telah wafat lebih 1,400 tahun lalu, kerana umat Islam hari ini masih memikul amanah meneruskan perjuangan dan dakwah yang dibawa oleh Baginda.
Pegawai Halaqat Kota Bharu Ustazah Maisuri Ismail berkata umat Islam disaran berdoa dengan menyeru “Wahai Rasulullah” seolah-olah Baginda berada di hadapan, sebagai tanda kecintaan dan kesinambungan misi dakwah yang diwariskan.
“Muslimin dan muslimat yang menerima Islam digelar da’ei, manakala mereka yang belum beragama Islam tetapi akhirnya kembali kepada agama fitrah ini digelar ijabah iaitu golongan yang dipertanggungjawabkan,” jelasnya ketika menyampaikan tazkirah sempena Program Hijratul Rasul 1447H Peringkat Pasir Mas di Madrasah Mek Kampung Kolam, Gelang Mas, di sini, hari ini.
Program kerohanian anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu menghimpunkan hampir 100 penduduk tempatan bagi menghayati ibrah peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.
Mereka turut berkerjasama menyediakan tiga kawah bubur As-Syura sebagai simbolik persepakatan komuniti di situ.
Hijratul Rasul merupakan program tahunan Kerajaan Negeri Kelantan yang dilaksanakan di semua 14 kawasan Parlimen di negeri ini.
Objektifnya ialah bagi memperkukuh kefahaman umat Islam terhadap pengorbanan, strategi, dan nilai perjuangan Baginda SAW dalam membina masyarakat berteraskan iman dan takwa.
0 Comments